Saturday, March 3, 2012

Panduan/Tatacara Solat Aidil Fitri lengkap mengikut sunnah Nabi s.a.w.



Tatacara Solat Aidil Fitri
Waktu untuk mengerjakan solat Aidil Fitri adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk melewatkan solat Aidil Fitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.
1 – Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat Aidil Fitri.
Dari Ibnu `Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya.
(hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)

Hanya sahaja di Malaysia ini solat Aidil Fitri dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyat al-Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam:
Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no: 444)

2 – Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Aidil Fitri. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat `Ied tanpa azan dan tanpa iqamah.
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Sholah, hadis no: 968)

Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas untuk memberi tahu para hadirin bahawa solat Aidil Fitri berjamaah akan bermula, agar mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih di tempat solat yang luas dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat.
3 – Jumlah rakaat solat Aidil Fitri adalah dua.
Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh dia berkata: Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat…
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)

4 – Terdapat tambahan takbir di dalam solat Aidil Fitri.
Dari `Aisyah (radhiallahu ‘anha), dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat Aidil Fitri dan aidil Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk.
- Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 970.

Ada pun tentang jumlah takbir secara keseluruhannya sebelum bacaan al-Fatihah, maka terdapat dua pendapat yang masyhur:
i – Untuk rakaat pertama lapan takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan tujuh takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 7 = 8. Untuk rakaat kedua enam takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan lima takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 5 = 6.
ii – Untuk rakaat pertama tujuh takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan enam takbir solat Aidil Fitri. 1 + 6 = 7. Untuk rakaat kedua lima takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan empat kali takbir solat Aidil Fitri. 1 + 4 = 5.
Kedua-dua pendapat termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang dibenarkan. Boleh memilih salah satu daripadanya atau yang lebih tepat, mengikuti takbir imam solat Aidil Fitri dalam pendapat yang dipilihnya.
5 – Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan: Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat Aidil Fitri (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)…
Hanya sahaja Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunnah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.”
(Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Total Koreksi Ritual Salat, ms. 395-396)

Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.
6 – Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari berkata: Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Aidil Fitri, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anh bahawasanya dia berkata mengenai solat Aidil Fitri: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah ‘Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atasNya.”
(Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 61)

Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti:
“Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar”.
(Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286)

7 – Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata: Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat Aidil Fitri).
(Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49)

8 – Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat Aidil Fitri bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:
Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat `Ied, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat

No comments:

Post a Comment