Aqidah
Aqidah, arasy, berhala, kitab tauhid, menyekutukan Allah, nuh, patung, rasul, syirik, tauhid, tidak bertempat
10 Komen
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ كَلِمَةً۬ طَيِّبَةً۬ كَشَجَرَةٍ۬ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٌ۬ وَفَرۡعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ
تُؤۡتِىٓ أُڪُلَهَا كُلَّ حِينِۭ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَڪَّرُونَ
“Tidakkah
kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang
baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke
langit. pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin
Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya
mereka selalu ingat.” Surah Ibrahim : Ayat 24 – 25
Firman Allah s.w.t.:
فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادً۬ا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ…….
“Maka janganlah kamu membuat sekutu untuk Allah padahal kamu mengetahui (bahawa Allah adalah maha Esa)” Surah Al Baqarah : Ayat 22
Ibnu Abbas r.a. dalam menafsirkan ayat
tersebut mengatakan: “membuat sekutu untuk Allah adalah perbuatan
syirik, suatu perbuatan dosa yang lebih sulit untuk dikenali dari pada
semut kecil yang merayap di atas batu hitam, pada malam hari yang gelap
gulita. Iaitu seperti ucapan anda: ‘demi Allah dan demi hidupmu wahai
fulan, juga demi hidupku’, Atau seperti ucapan: ‘kalau bukan kerana
anjing ini, tentu kita didatangi pencuri pencuri itu’, atau seperti
ucapan: ‘kalau bukan kerana angsa yang dirumah ini, tentu kita didatangi
pencuri-pencuri tersebut’, atau seperti ucapan seseorang kepada
kawan-kawannya: ‘ini terjadi kerana kehendak Allah dan kehendakmu’, atau
seperti ucapan seseorang: ‘kalaulah bukan kerana Allah dan fulan’.
“Oleh kerana itu, janganlah kamu
menyertakan “si fulan” dalam ucapan-ucapan di atas, kerana boleh
menjatuhkan kamu ke dalam kemusyrikan.” Hadith Riwayat Ibnu Abi Hatim
Diriwayatkan dari Umar bin Khaththab r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barang siapa yang bersumpah dengan menyebut selain Allah, maka ia telah berbuat kekafiran atau kemusyrikan” Hadith Riwayat Tirmidzi, dan ia nyatakan sebagai hadis hasan, dan dinyatakan oleh Al Hakim shohih.
Dan Ibnu Mas’ud r.a. berkata:
“sungguh bersumpah bohong dengan
menyebut nama Allah, lebih Aku sukai daripada bersumpah jujur tetapi
dengan menyebut nama selainNya.”
Diriwayatkan dari Hudzaifah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Janganlah kalian mengatakan:
‘atas kehendak Allah dan kehendak si fulan’, tapi katakanlah: ‘atas
kehendak Allah kemudian atas kehendak si fulan’.” (HR. Abu Daud dengan sanad yang baik).
Diriwayatkan dari Ibrahim An Nakha’i
bahawa ia melarang ucapan: “Aku berlindung kepada Allah dan kepadamu”,
tetapi ia memperbolehkan ucapan: “Aku berlindung kepada Allah, kemudian
kepadamu”, serta ucapan: ‘kalau bukan kerana Allah kemudian kerana si
fulan’, dan ia tidak memperbolehkan ucapan: ‘kalau bukan kerana Allah
dan kerana fulan’.
.
Pengertian syirik dari segi bahasa dan syara’
Syirik adalah kata dasar dari Bahasa Arab
iaitu Syaraka yang bermaksud : Menyamakan sesuatu dengan sesuatu dari
segi bahasa. Manakala dari segi syara’ bermaksud: Menyamakan Allah
dengan sesuatu atau menyamakan sesuatu dengan Allah sama ada secara
iktikad, perbuatan atau perkataan.
.
Sejarah permulaan Syirik
Syirik mula dilakukan ketika zaman Nabi
Nuh a.s, dan oleh kerana itulah dia menjadi RASUL yang pertama diutuskan
untuk kaumnya. Dan seorang rasul diutuskan tidak lain adalah untuk
menyeru umatnya agar beribadah kepada Allah semata2 tanpa
menyekutukanNya dengan suatu apa pun atau dengan kata lain menTAUHIDkan
Allah.
“Dan sungguh Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk
menyerukan): Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah thaghut… ” Surah An Nahl : Ayat 36
Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir
menjelaskan tentang ayat 36 Surah An Nahl itu dengan menyatakan bahawa
kejadian syirik pertama yang berlaku ke atas anak Adam ialah terhadap
kaum Nuh a.s.
“Sesungguhnya Kami telah
memberikan wahyu kepadamu (Muhammad) sebagaimana Kami telah memberikan
wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah
memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya’qub dan anak
cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur
kepada Daud.” Surah An Nisaa’ : Ayat 163
“Dan sesungguhnya Kami telah
mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu ia berkata: “Hai kaumku, sembahlah
oleh kamu Allah, (kerana) sekali-kali tidak ada Ilah bagimu selain Dia.
Maka mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?” Surah Al Mu’minuun : Ayat 23
Ibnul Qayyim rahimahullahu berkata,
“terjadinya kemusyrikan pertama kali adalah pada kaum nabi Nuh
‘alaihissalam, iaitu ketika mereka bersifat ghuluw (berlebih-lebihan)
terhadap orang-orang sholeh” (Ighotsatul Lahfan, 2/204)
Nabi Nuh a.s menyeru kaumnya agar
berhenti menyembah patung dan kembali menTAUHIDkan Allah. Tetapi kaumnya
hanya memperlekehkan beliau dan mengutuknya serta menuduh Nuh sebagai
sesat. Kata-kata mereka sebagaimana yang difirmankan oleh Allah S.w.t di
dalam AlQuran
“Dan mereka berkata: “Jangan
sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) ilah-ilah kamu dan jangan
pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, dan jangan pula
Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr”. Surah Nuh : Ayat 23
Menurut Ibnu Abbas r.a, Wadd, Suwaa’,
Yaghuts, Ya’uq dan Nasr adalah orang soleh daripada kalangan kaum Nabi
Nuh. Apabila mereka meninggal dunia maka syaitan membisikkan ke telinga
kaum itu agar membuat patung menyerupai mereka agar dapat mereka
mengenang segala amalan soleh serta jasa orang soleh berkenaan. Patung
itu turut dijadikan perangsang bagi mereka untuk mencontohi perbuatan
orang soleh. Patung berkenaan pada peringkat awalnya tidak disembah oleh
kaum itu. Namun masa berlalu dan generasi awal kaum ini meninggal
dunia, generasi baru yang menggantikannya banyak melupakan ajaran agama
sebenar. Syaitan sekali lagi memainkan peranan untuk menyesatkan umat
manusia dengan membisikkan kepada mereka bahawa generasi sebelum mereka
itu menyembah patung berkenaan untuk mendekat diri mereka kepada Allah.
Disebabkan kejahilan mereka terhadap
ajaran agama maka bermulalah amalan menyembah patung orang soleh itu
atas dasar mengagungkan dan kecintaan terhadap mereka serta ia dijadikan
sebagai objek perantaraan untuk memohon doa serta syafaat. Al-Laata
yang juga antara berhala terbesar pada zaman jahiliah di Makkah juga
nama seorang yang masa hidupnya gemar memberi makanan kepada jemaah haji
yang mengunjungi Kaabah.
.
Syirik / menyekutukan Allah adalah dosa yang paling besar
“Sesungguhnya
telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah
Al-Masih putera Maryam”, padahal Al-Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani
Israil, sembahlah Allah Rabbku dan Rabbmu”. Sesungguhnya orang yang
mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan
kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi
orang-orang zalim itu seorang penolong pun. “ Surah Al Ma’idah : Ayat 72
“Dan sesungguhnya telah
diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) sebelummu: ‘Jika kamu
mempersekutukan (Allah), nescaya akan hapus amalmu dan tentulah kamu
termasuk orang-orang yang rugi’.” Surah Az-Zumar : Ayat 65
“Nabi S.a.w ditanya tentang dosa
apa yang paling besar, beliau bersabda, “engkau menyeru sekutu Allah
sedang Dia telah menciptakan kamu”. Hadith Riwayat Muslim
“Dosa yang paling besar dari dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah.” Hadith Riwayat Bukhari
.
.
Bahagian-bahagian Syirik
Syeikh Sulaiman bin Abdullah telah
membahagikan syirik itu kepada empat bahagian iaitu Syirik Rububiyyah,
Syirik Asma’, Syirik Sifat dan Syirik Ubudiyyah.
Bentuk Syirik Rububiyyah ialah
mempersekutukan Allah dalam pentadbiran alam ini iaitu, Pertama –
Menafikan Allah sebagai pentadbir alam ini sebagaimana ucapan yang
dilafazkan oleh firaun yang termaktub di dalan Al-Quran yang bermaksud:”
(Firaun berkata) akulah tuhan kamu yang tertinggi”. Surah An-Nazi’aat
ayat 24. Kedua – Mengiktiraf adanya kuasa selain Allah yang mengurus
alam ini.
Manakala Syirik Asma’ dan Sifat iaitu
menyamakan sifat-sifat Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada dalam
bentuk tindakan atau percakapan. Ia juga terbahagi kepada dua bahagian
iaitu, Pertama – Menyamakan Allah dengan makhluk seperti pendapat yang
mengatakan tangan Allah seperti tangan makhluk, pandangan dan
pendengaran Allah sama seperti pendengaran manusia sedangkan Allah
bersifat sempurna sebagaimana firmannya yang bermaksud: “Dan tidak ada
sesiapa pun yang setara dengannya”. Kedua – Menyatakan sifat Allah
S.w.t. kurang atau lemah yang nyata bertentangan dengan sifat Allah
s.w.t., Yang Lengkap lagi Maha Tinggi.
Syirik
Ubudiyyah iaitu syirik dari segi penyembahan yang banyak berlaku dalam
masyarakat kita sama ada disedari atau tidak iaitu: Pertama – Menyembah
selain Allah. Meminta dan bergantung harap kepada selainnya seperti
meminta sesuatu kepada pokok, busut, kubur keramat, pantai dan lain-lain
lagi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan jangan
kamu menyekutukan sesuatu pun denganNya”. Surah An-Nisa’ : Ayat 36.
Kedua – Beribadat dengan tidak ikhklas
(riak). Ia beribadat mungkin kerana kepentingan diri, mencari nama,
pangkat, pengaruh dan sebagainya. Ia juga disebut sebagai syirik kecil.
Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah dan Al-Hakim,
seorang sahabat bernama Syaddadi bin Aus telah menemui Rasulullah s.a.w.
pada suatu malam dan mendapati baginda sedang menangis, lalu ia pun
bertanya :” Kenapa Rasulullah s.a.w. menangis?,. Baginda
menjawab:” Aku takut umatku ditimpa syirik walhal mereka bukan menyembah
berhala, tidak pula menyembah bulan dan matahari atau batu, hanya
kerana mereka berlaku riak dalam mengerjakan amalan”.
.
Menurut Dr Yusuf Al-Qardawi, syirik
terdiri dari dua jenis, dikenali dengan syirik akbar dan syirik asghar.
Syirik Akbar ialah syirik yang tidak diampunkan oleh Allah dan pelakunya
tidak akan dimasukkan sama sekali ke syurga. Manakala Syirik Asghar
pula adalah di antara dosa-dosa besar yang dikhuatiri orang yang
melakukannya dan yang berterusan melakukannya akan membawa kepada mati
di dalam keadaan kafir jika Allah tidak memberi pertolongan dengan
rahmat-Nya sekiranya dia tidak bertaubat sebelum mati.
1. Syirik Akbar Jali (terang) dan Khafi (tersembunyi)
Syirik Akbar terbahagi kepada dua iaitu
Syirik Akbar Jali (terang) dan Syirik Akbar Khafi (tersembunyi). Syirik
akbar yang terang ialah beribadah kepada satu tuhan atau beberapa tuhan
di samping Allah SWT sama ada tuhan tersebut berbentuk objek seperti
matahari, bulan atau benda mati seperti berhala atau batu ataupun tuhan
tersebut berbentuk binatang seperti anak lembu atau bapak lembu atau
tuhan yang berbentuk manusia seperti Firaun yang mendakwa dirinya tuhan.
Ahmad Mohd Salleh (2002) menjelaskan
syirik akbar ialah menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk dari
aspek penciptaannya seperti mempercayai ada kuasa lain selain daripada
kuasa Allah SWT yang lebih berkuasa. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya
orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, Maka pasti Allah
mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada
bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” Surah Al-Maa’idah: Ayat 72
Secara kesimpulannya, Syirik Akbar ialah
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, dengan mempercayai dan
menyembah sesuatu yang dianggap mempunyai kuasa luar biasa, sama ada
sebagai pengantara dengan Allah seperti berhala, sebagai anak Allah,
isteri, roh ataupun mempunyai kuasa tertentu yang hanya milik Allah SWT.
(Mardzelah Makhsin, 2003). Syirik akbar adalah syirik yang sebenar,
yang tidak diampunkan oleh Allah SWT dan orang Islam yang melakukannya
boleh dijatuhkan hukuman murtad.
Perkara ini dilakukan oleh orang-orang
Quraisy kerana pada hakikatnya mereka masih mempercayai kewujudan Allah
dan bersumpah dengan nama Allah tetapi mereka mensyirikkan Allah dengan
mengambil berhala sebagai sembahan. Oleh itu mereka disebut dalam
al-Quran sebagai musyrikun atau kafirun. Begitu juga dengan orang-orang
yang beragama Kristian yang mengambil Isa a.s sebagai anak tuhan yang
disembah selain daripada Allah demi mendapatkan keampunan. Begitulah
juga orang Yahudi yang menganggap Uzair anak Tuhan dan bangsa Yahudi
sebagai bangsa yang terpilih di sisi Allah. Oleh kerana itu mereka
melakukan syirik yang besar dan ini mengeluarkan mereka daripada agama
Tauhid yang dibawa oleh para Nabi, dan rasul terakhir Muhammad SAW.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Orang-orang Yahudi berkata:
“Uzair itu putera Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Maseh itu
putera Allah”. Demikianlah itu Ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka
meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah
mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?:” Surah at-Taubah: Ayat 30
Bagi orang Islam, sesiapa yang
mempercayai, meyakini, mentaati dan menyembah apa sahaja perkara yang
dianggap berkuasa ataupun menyamai sifat dan keagungan Allah S.W.T, dia
sudah melakukan syirik yang besar dan boleh dijatuhkan hukuman murtad
jika enggan bertaubat setelah diberikan penerangan serta peluang. Antara
contoh perlakuan syirik yang sering dilakukan dalam masyarakat adalah
memohon sesuatu daripada kubur orang yang meninggal dunia, memohon
sesuatu daripada makhluk jin dengan cara memuja dan mempersembahkan
sesuatu kepada mereka, memuja dan mempercayai ‘kekuasaan’ semua makhluk
sama ada pokok, bukit, gua, busut, matahari, bintang, bulan dan
sebagainya.
Selain daripada syirik dalam bentuk
pemujaan dan permohonan, terdapat juga syirik dalam bentuk penghambaan
dan ketaatan kepada selain daripada Allah SWT. Perkara ini terjadi
kerana seseorang atau pun sekumpulan orang mematuhi perintah dengan
menolak hukum Allah SWT. Perkara ini jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Firman Allah SWT: ‘ Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada
hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap
perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam
hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan
mereka menerima dengan sepenuhnya.” Surah anNisaa’ : Ayat 65
Dalam ayat ini, Allah SWT menafikan iman
bagi orang yang tidak berhukum dengan hukum-Nya kerana manifestasi
keimanan adalah menuntut ketaatan dan kepatuhan kepada perintah-Nya.
Keingkaran menggunakan hukum Allah serta pengambilan hukum lain adalah
perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan ini adalah
syirik yang nyata. Perkara ini jelas dalam ayat-ayat lain antaranya
firman Allah berkenaan ahli-ahli kitab yang mengambil ahli-ahli agama
mereka sebagai tuhan selain Allah. Ini kerana mereka patuh dan taat
kepada ahli agama dalam melakukan pendustaan pada agama Allah, “Mereka
mengambil orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain
Allah, dan al-Maseh Isa bin Maryam, sedang mereka tidak diperintahkan
melainkan untuk menyembah tuhan yang satu, tidak ada tuhan selain dia,
Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.” Surah Al-Furqan : Ayat 43
Allah juga menyifatkan orang yang patuh
kepada hawa nafsunya pada hakikatnya mengambil hawa nafsu tersebut
sebagai tuhan yang disembah; Firman Allah SWT: Maksudnya: “Maka
pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah Telah
mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas
penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah
Allah (membiarkannya sesat). Maka Mengapa kamu tidak mengambil
pelajaran?” Surah al Jaatsiyah : Ayat 23
“Di kolong langit ini, tidak ada
tuhan yang disembah yang lebih besar dalam pandangan Allah selain dari
hawa nafsu yang dituruti.” Hadith Riwayat Ahmad
Sabda nabi S.a.w yang bermaksud, “Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang dibenci dan neraka itu dikelilingi dengan berbagai (nafsu) syahwat.” Hadith riwayat Bukhari & Muslim
2. Syirik Akbar Khafi
Syirik ini berlaku dalam bentuk
percampuran antara amalan yang berunsurkan kekufuran dengan amalan yang
berunsurkan Islam serta dicampur dengan kepercayaan karut marut
berkaitan kekuasaan sesuatu benda yang menyerupai kuasa Allah SWT.
Percampuran ini menyebabkan kecelaruan dalam akidah seseorang kerana
hak-hak Allah SWT diberikan atau dikongsikan kepada makhluk-makhluk
ciptaan Allah seperti kekuasaan, pengabdian, pertolongan perlindungan,
keikhlasan, sifat-sifat kesempurnaan dan sebagainya. Perkara-perkara ini
jika tidak diteliti menyebabkan seseorang terjerumus dalam perangkap
syaitan dan dibimbangi pelakunya mati dalam keadaan kufur kepada Allah
SWT jika tidak sempat bertaubat.
Contohnya
bersumpah dengan yang lain daripada Allah seperti bersumpah dengan nama
nabi, Kaabah, wali, orang-orang soleh dan sebagainya. Ini kerana
manusia hanya layak bersumpah dengan nama Allah sahaja. Bersumpah dengan
nama-nama makhluk adalah tidak layak bagi manusia kerana dikhuatiri ia
menyamakan makhluk dengan penciptanya. Manakala amalan-amalan yang turut
membawa kepada syirik akbar adalah seperti memakai tangkal dengan
tujuan menolak kemudaratan atau mendatangkan sesuatu keuntungan dengan
pergantungan kepada tangkal tersebut, menggunakan jampi mantera yang
mengandungi permohonan pertolongan atau perlindungan daripada selain
Allah, mempercayai ramalan ahli nujum atau mengamalkan ilmu nujum,
bernazar kepada selain Allah, terlalu mengagungkan sesuatu sama ada
nabi, rasul, tempat-tempat tertentu atau objek tertentu sehingga
menyamai salah satu sifat Allah SWT dan amalan-amalan lain seumpamanya.
3. Syirik Asghar
Ianya adalah di antara jenis-jenis dosa besar bahkan lebih besar di sisi Allah daripada dosa-dosa besar yang lain.
Syirik asghar adalah syirik yang
tersembunyi kerana kadang kala tidak disedari oleh orang yang melakukan
perkara tersebut. Syirik ini banyak bersangkutan dengan amalan hati
seseorang. Ia terjadi apabila sesuatu amalan ketaatan dikerjakan dengan
niat yang tidak ikhlas kerana Allah SWT seperti hanya menunjuk-nunjuk
kepada orang ramai, mendapat pujian dan sanjungan bagi sesuatu tujuan
seperti perniagaan dan perkahwinan serta tujuan-tujuan yang seumpamanya.
Melihat kepada situasi hari ini, ternyata
amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku
secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak
menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.
Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala
riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap redha manusia,
bermuka-muka, tidak ikhlas, tathoyyur (merasa sial kerana melihat
sesuatu), meninggalkan solat kerana malas, menandakan amalan syirik
memang menguasai hidup umat Islam kini.
.
.
Larangan membuat berhala / idola
Seperti
yang telah disebutkan di atas, amalan menyembah berhala telah dilakukan
sejak zaman nabi Nuh lagi. Pada asalnya mereka membuat patung2 sekadar
ingin mengingati seseorang, tetapi zaman demi zaman menyebabkan anak
cucu mereka memuja dan menyembah berhala2 tersebut. Allah S.w.t melarang
keras pembuatan berhala yang digunakan untuk menyembah dan memujanya,
walaupun berhala tersebut digunakan sebagai perantaraan dengan Allah.
“Dan kaum Musa, setelah kepergian
Musa ke gunung Thur, membuat dari perhiasan-perhiasan (emas) mereka
anak lembu yang bertubuh dan bersuara. Apakah mereka tidak mengetahui
bahawa anak lembu itu tidak dapat berbicara dengan mereka dan tidak
dapat (pula) menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya
(sebagai sembahan) dan mereka adalah orang-orang yang zalim.” Surah Al A’raaf : Ayat 148
“Ataukah mereka mempunyai tuhan selain Allah. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.” Surah At Thuur : Ayat 43
“Maka apakah mereka tidak
memerhatikan bahawa patung anak lembu itu tidak dapat memberi jawapan
kepada mereka, dan tidak dapat memberi kemudharatan kepada mereka dan
tidak (pula) kemanfa’atan?” Surah Thaaha : Ayat 89
“Maka janganlah kamu berada dalam
keragu-raguan tentang apa yang disembah oleh mereka. Mereka tidak
menyembah melainkan sebagaimana nenek moyang mereka menyembah dahulu.
Dan sesungguhnya Kami pasti akan menyempurnakan dengan secukup-cukupnya
pembalasan (terhadap) mereka dengan tidak dikurangi sedikit pun. “ Surah Huud : Ayat 109
.
.
Tiada satu apa pun yang sama denganNya
Tiada satu apa pun yang sama dengan zat dan sifat Allah dan Allah terpisah dari segala makhluk.
“……. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Surah As Syuura : Ayat 11
“dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.” Surah Al Ikhlas : Ayat 4
Di dalam AlQuran ada ayat2 yang menyebut
tentang tangan Allah, wajah Allah, dan sebagainya seakan2 anggota tubuh
manusia. Tetapi ketahuilah, ayat2 yang menyebut tentang perkara
sedemikian dipanggil ayat2 Mutasyabih (samar2). Apabila ia disebut
mutasyabih terutamanya tentang Allah, maka hanya ALLAH yang mengetahui
keadaannya. Kita dilarang dari menyama2kan zat dan sifat Allah dengan
makhluk.
“Dia lah yang menurunkan Al-Kitab (Al-Qur’an) kepada kamu. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamat itulah
pokok-pokok isi Al-Qur’an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. Ada
pun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka
mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk
menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada
yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam
ilmunya berkata: “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat,
semuanya itu dari sisi Tuhan kami”. Dan tidak dapat mengambil pelajaran
(daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” Surah Aali Imraan : Ayat 7
Maka contoh ayat yang menyebut
“Tangan Allah di atas tangan mereka” , hanya Allah Yang Mengetahui
bagaimana. Yang penting kita perlu tahu bahawa ianya TIDAK SAMA dengan
makhluk. Dan dilarang keras kita berimaginasi tentangnya.
Ayat tersebut hanya KIASAN. Di dalam
penggunaan Bahasa Melayu kita pun ada digunakan kiasan sebegitu. Sebagai
contoh, saya berkata “negara ini sudah berada dalam genggaman tangan ku“.
Maka adakah sebuah negara yang besar boleh berada dalam tangan saya?
Itu mustahil sama sekali, sedangkan maksud sebenarnya ialah negara ini
sudah berada di bawah kekuasaan saya.
.
.
Allah berada di atas langit dan keadaanNya adalah tidak bertempat
Ketahuilah bahawa tiada ada satu makhluk pun yang sama atau setara dengan Allah. Allah S.w.t
bersemayam di atas arasy yang agung, tetapi keberadaanNya adalah tidak
bertempat. Dia menciptakan ruang dan tempat tetapi Dia tidak berada
dalam ruang dan tempat itu. Ruang dan tempat hanyalah makhluk, sedangkan
Dia terpisah dari segala makhluk. Dia Maha Suci dari segala sesuatu
yang lain. Subhanallah.
Kaedah Dia bersemayam tidak sama seperti
kaedah seorang raja manusia bersemayam di atas singgahsana. Itu adalah
keunikanNya yang akal manusia sendiri tidak mampu untuk memikirkanNya.
Allahu akbar.
“Yang Maha Pemurah bersemayam di atas Arasy.” Surah Thaaha : Ayat 5
Dan beberapa lagi ayat AlQuran yang
memberitahu bahawa Allah bersemayam di atas Arasy. Sementara dalil2
berkenaan keberadaan Allah tidak bertempat pula seperti berikut;
Di dalam Tafsir Mahmud Yunus menyebut
bahawa Allah Yang Maha Pengasih bersemayam di atas Arasy (takhta
kerajaanNya). Perkataan ini adalah perkataan KIASAN , ertinya Allah
S.w.t memerintah alam yang luas ini.
Saidina Ali k.r.w.j. pernah berkata:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. itu tidak bertempat. Dia sekarang dalam
keadaan seperti mana Dia sebelum ini (iaitu tetap qadim dan abadi tanpa
bertempat)”. (Al-firaq bainal Firaq karangan Abu Mansur: 333)
Saidina Ali k.r.w.j. berkata lagi: “Sesungguhnya Allah s.w.t.
menciptakan Arasy, sebagai tanda kekuasaanNya, bukan sebagai tempat
untuk Dia duduki” (Al-firaq bainal firaq: 333)
Saidina Ali k.r.w.j. berkata lagi:
“Sesiapa yang beranggapan bahawa, Tuhan kita mahdud (ada ruang lingkup
tertentu atau ada had-had tertentu), bererti dia jahil tentang Tuhan
Maha Pencipta lagi Tuhan yang disembah” (hilyatul Auliya’: 1/73)
Ja’far As-Sodiq r.a. (148 H) berkata:
“Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. berada pada mana-mana
tempat, atau berada atas sesuatu, atau berasal daripada sesuatu, maka
dia telahpun syirik…” (risalah Al-Qusyairiyah: 6)
Imam Abu Hanifah r.a. (150H) berkata:
Allah s.w.t. itu wujud tanpa bertempat sebelum dia menciptakan makhluk.
Maka, Allah s.w.t. wujud tanpa di mana, tanpa makhluk dan tanpa
sesuatupun (bersamaNya). Dialah yang menciptakan segalanya. (Al-Fiqh
Al-Absath: 25)
Imam As-Syafi’e r.a. (204 H) berkata:
“Allah s.w.t. wujud tidak bertempat. Dia menciptakan tempat, sedangkan
Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya, sepertimana sebelum Dia
menciptakan makhluk. Tidak layak Allah s.w.t. berubah sifatNya atau
zatNya.” (ittihaf saadah Al-Muttaqin: 2/24).
Imam Ahmad bin Hanbal r.a. pula, menurut
Sheikh Ibn Hajar Al-Haithami bahawasanya, beliau (Imam Ahmad) dalam
kalangan mereka yang menyucikan Allah s.w.t. daripada sebarang tempat
dan kejisiman. Kemudian, Ibn Hajar berkata: Adapun yang masyhur dalam
kalangan orang-orang jahil yang menisbahkan kepada Imam yang agung ini,
bahawa beliau bercakap tentang (Allah s.w.t.) bertempat dan sebagainya,
maka ia merupakan sesuatu yang dusta, tipu daya dan rekaan ke atas
beliau” (Al-Fatawa Al-Hadithiyyah: 144)
Imam Al-Bukhari r.a. (256 H) dalam Sahih
Al-Bukhari itu sendiri menurut mereka yang mensyarahkannya, bahawasanya
beliau menyucikan Allah s.w.t. daripada tempat dan sudut.
Imam At-Thohawi (321H) berkata juga:
“Maha Tinggi dan Suci Allah s.w.t. daripada sebarang had, sempadan,
anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam
(tidak bertempat).” (As-Siqaat: 1/1)
Imam Ibn Hibban r.a. (354 H) berkata:
“Segala puji bagi Allah s.w.t. yang tidak mempunyai sebarang batasan
yang membatasinya lalu meliputinya, dan tiada bagiNya masa yang terbatas
yang akan menyebabkan Dia fana, dan tiada tempat yang dapat
meliputiNya, dan tiada termasuk dalam lingkaran masa. (As-Siqat: 1/1)
Allah mencipta ruang dan tempat, tetapi
Dia tidak berada dalam ruang dan tempat itu. Ruang dan tempat adalah
makhluk, sedangkan Dia adalah terpisah dari segala makhluk. Sedangkan
ruang dan tempat pun Dia terpisah, apa lagi jika dikatakan Allah
menjelma menjadi manusia. Itu adalah satu fahaman yang TIDAK BETUL sama
sekali. Allah S.w.t Maha Hebat dari segala2nya.
Tetapi apabila ditanyakan di mana Allah?
Cukup sahaja untuk menjawab bahawa Allah di atas langit, tidak lebih
dari itu. Tetapi keberadaan Allah bukan seperti planet2 dan bintang yang
berada di langit. Ingat bahawa tiada satu apa pun yang sama denganNya.
“Allah mentadbirkan segala urusan dari langit ke bumi; Kemudian urusan itu naik kepada-Nya…” Surah As-Sajdah : Ayat 5)
“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Rabb dalam sehari yang kadarnya limapuluh ribu tahun” Surah Al Ma’arij : Ayat 4
“Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Surah An Nisaa’ : Ayat 158
“Sesungguhnya Rabb kamu ialah
Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia
bersemayam di atas ‘Arsy …….” Surah Al A’raaf : Ayat 54
Saidina Umar bin Khatab pernah mengatakan
: Ertinya : “Hanyasanya segala urusan itu (datang) dari sini”. Sambil
Umar mengisyaratkan tangannya ke langit ” [Imam Dzahabi di kitabnya
"Al-Uluw" hal : 103. mengatakan : Sanadnya seperti Matahari (yakni
terang benderang keshahihannya)].
Imam Malik bin Anas telah berkata :
Ertinya : “Allah berada di atas langit, sedangkan ilmunya di tiap-tiap
tempat, tidak tersembunyi sesuatu pun dariNya”.
Imam Asy-Syafi’iy telah berkata : Ertinya : “Dan sesungguhnya Allah di atas ‘Arasy-Nya di atas langit-Nya”
Imam Tirmidzi telah berkata : Ertinya :
“Telah berkata ahli ilmu : “Dan Ia (Allah) di atas ‘Arsy sebagaimana Ia
telah sifatkan diri-Nya”.
Telah berkata Imam Ibnu Khuzaimah
-Imamnya para imam- : Ertinya : “Barangsiapa yang tidak menetapkan
sesungguhnya Allah Ta’ala di atas ‘Arsy-Nya Ia istiwaa di atas tujuh
langit-Nya, maka ia telah kafir dengan Tuhannya…”. (Riwayat ini shahih
dikeluarkan oleh Imam Hakim di kitabnya Ma’rifah “Ulumul Hadits” hal :
84).
Telah berkata Syeikhul Islam Imam Abdul
Qadir Al Jailani : “Tidak boleh mensifatkanNya bahawa Ia berada di atas
tiap-tiap tempat, bahkan (wajib) mengatakan : Sesungguhnya Ia di atas
langit (yakni) di atas ‘Arasy sebagaimana Ia telah berfirman :”
Ar-Rahman di atas ‘Arsy Ia istiwaa” Surah Thaha : Ayat 5. Dan patutlah
memutlakkan sifat istiwaa tanpa ta’wil sesungguhnya Ia istiwaa dengan
Dzat-Nya di atas ‘Arasy. Dan keadaan-Nya di atas ‘Arasy telah tersebut
pada tiap-tiap kitab yang Ia turunkan kepada tiap-tiap Nabi yang Ia utus
tanpa (bertanya) :”Bagaimana caranya Allah istiwaa di atas ‘Arasy-Nya
?” (Fatwa Hamawiyyah Kubra hal : 87).
Lagi Syeikh Abdul Qadir Al Jailani
mengatakan dalam kitabnya Al Ghunyah, “Dia (Allah) di arah atas, berada
di atas ‘ArasyNya, meliputi seluruh kerajaanNya. IlmuNya meliputi segala
sesuatu. “Kemudian beliau menyebutkan ayat-ayat dan hadits-hadits, lalu
berkata, “Sepatutnya menetapkan sifat istiwa’ (Allah berada di atas
‘ArasyNya) tanpa takwil (menyimpangkan kepada makna lain, seperti Allah
di hati atau di mana-mana, ini adalah keyakinan bathil). Dan hal itu
merupakan istiwa’ zat / diri Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas ‘Arasy.
.
.
Bagaimana dengan pendapat yang mengatakan bahawa Allah berada di mana-mana?
Pendapat tersebut pada mulanya
dikeluarkan oleh kaum Jahmiyyah (iaitu fahaman yang menghilangkan
sifat-sifat Allah) dan Mu’tazilah. Jika difikirkan adalah bahaya
pemikiran seperti itu, kerana berada di mana2 seumpama angin, debu,
haiwan2 dan makhluk2 lain. Maka adalah tidak wajar martabat Tuhan
direndahkan sehingga sedemikian rupa.
Rasulullah S.a.w pernah mengajukan soalan
kepada seorang hamba perempuan milik Mu’awwiyah bin Al Hakam As Sulamy
sebagai ujian keimanan sebelum dia dimerdekakan.
Beliau bertanya kepadanya, “Di
manakah Allah (aina Allah)?” Jawab hamba itu: “Allah di langit (fis
samaa’).” Baginda Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Jawab hamba
itu lagi: “Engkau adalah Rasulullah.” Dan kemudian baginda Rasulullah
bersabda, “Merdekakan lah dia, kerana dia seorang wanita yang beriman”.
(Hadis Diriwayatkan oleh sekalian Jema’ah ahli Hadis, antaranya Imam
Malik, Muslim, Abu Daud, ad-Darimi, an-Nasai’e, Ahmad …….).
Imam Abu Hanifah berkata : Ertinya :
“Barangsiapa yang mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit,
maka sesungguhnya ia telah kafir”.
.
.
Tentang ada pertanyaan berkenaan dengan ayat 3 surah Al An’aam yang bermaksud;
“Dan Dialah Allah (Yang
disembah), baik di langit mahu pun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu
rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang
kamu usahakan.” Surah Al An’aam : Ayat 3
Tafsir Al Muntakhab menyebutnya sebagai
“Hanya Dia sendirilah yang berhak disembah di langit dan di bumi”.
Bermakna ayat tersebut bukannya menerangkan tentang keberadaan Allah di
langit dan di bumi. Tetapi Dia disembah di langit dan di bumi oleh
sekalian makhluk. Dan Imam Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir juga
mengatakan agar mengikut ulamak Salaf seperti Shafie, Malik, At tsauri,
Ahmad dan sebagainya iaitu seperti pendapat2 mereka di atas.
.
“Hai orang-orang yang telah
diberi Al-Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah Kami turunkan
(Al-Qur’an) yang membenarkan Kitab yang ada pada kamu sebelum Kami
mengubah muka(mu), lalu Kami putarkan ke belakang atau Kami kutuk mereka
sebagaimana Kami telah mengutuk orang-orang (yang berbuat ma’siat) pada
hari Sabtu. Dan ketetapan Allah pasti berlaku.
Sesungguhnya Allah tidak akan
mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari
(syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang
mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.
Apakah kamu tidak memperhatikan
orang yang menganggap dirinya bersih? Sebenarnya Allah membersihkan
siapa yang dikehendaki-Nya dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.
Perhatikanlah, betapakah mereka
mengada-adakan dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi
dosa yang nyata (bagi mereka).” Surah An Nisaa’ : Ayat 47 – 50
.
Rujukan:
1 – Kitab Tauhid – Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab
2 – Tafsir Mahmud Yunus
3 – Soal jawab Aqidah – Syeikh Muhammad Jamil Zainu
4 – Di mana Allah? – Abdul Hakim bin Amir Abdat
5 – JAIS
6 – Tafsir Ibnu Katsir
7 – al-qayyim.net
No comments:
Post a Comment