Sunnah Meletakkan Sutrah dan Larangan Melintas di Hadapan Orang Solat
Abu Numair Nawawi B. Subandi
Apa Itu Sutrah?
Sutrah
adalah suatu objek setinggi kira-kira 1 pelana haiwan tunggangan yang
diletakkan di hadapan orang yang solat sebagai penghadang atau pembatas.
Jarak meletakkannya adalah kira-kira 3 hasta (3 kaki) di hadapan dari
tempat berdiri (bagi yang bersolat tersebut). Atau 1 hasta (1 kaki) di
hadapan dari tempat bersujud. (Aashlu Shifati Sholatin Nabi, 1/114 –
al-Maktbah al-Ma’arif)
Selain
merupakan suatu sunnah, ini turut bertujuan sebagai pembatas atau
penghadang agar kesempurnaan solat tidak terjejas apabila ada orang atau
seumpamanya yang melalu-lintas di hadapan ketika sedang bersolat.
Sunnah ini berdalilkan dengan hadis yang banyak antaranya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِذَا وَضَعَ أَحَدُكُمْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلَ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلِ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُبَالِ مَنْ مَرَّ وَرَاءَ ذَلِكَ
“Apabila
salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang
setinggi seperti pelana haiwan tunggangan di hadapannya (sebagai sutrah
atau penghadang), maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang
melintas di sebalik objek tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat,
no. 241)
Tinggi pelana haiwan tunggangan dimaksudkan adalah sekira-kira 1 kaki lebih atau 40cm hingga 60cm.
Ini sebagaimana ditanya kepada ‘Atha’. Ibnu Juraij bertanya:
كم مؤخرة الرحل الذي سعل إنه يستر المصلي؟ قال: قدر ذراع
“Berapa
tinggi pelana haiwan tunggangan yang dijadikan sutrah untuk solat?”
‘Atha’ jawab, “Sekira-kira satu hasta.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah,
no. 807)
Ulama
berbeza pendapat tentang hukum mengenakan sutrah (penghadang) ketika
solat Sama ada wajib atau pun sunnah. Di antara yang berpendapat wajib,
dalil-dalil mereka banyak sekali, tampak lebih kuat, dan jelas.
Di
antara para ulama yang menegaskan kewajibannya adalah seperti Imam
Ahmad dalam salah satu pendapat beliau, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hazm, Ibnu
Hajar al-Haitami, asy-Syaukani, al-Albani, dan selainnya.
Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata, “Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لا تصلوا إلا إلى سترة وقد زجر صلى الله عليه وسلم أن يصلي المصلي إلا إلى سترة فكيف يفعل ما يزجر عنه صلى الله عليه وسلم
“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah.”
Beliau
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang seseorang yang hendak
melaksanakan solat melainkan dengan menghadap sutrah. Oleh itu, mana
mungkin beliau melakukan sesuatu yang beliau sendiri larang?” (Shahih
Ibnu Khuzaimah, 2/27 -Al-Maktab al-Islami)
Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah (Wafat: 974H) berkata:
السترة واجبة عند جماعة من العلماء
“Sutrah adalah wajib di sisi sebahagian besar ulama.” (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/141 - Daar ul-Fikr)
Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata:
قوله فليُصلِ إلى سترة فيه أن اتخاذ السترة واجب
“Perkataan
beliau (Rasulullah), “Maka solatlah menghadap sutrah” padanya terdapat
petunjuk bahawa mengenakan sutrah (ketika solat) adalah wajib.” (Nail
ul-Authar, 3/2 - Daar ul-Hadits)
Syaikh Muqbil B. Hadi al-Wadi’i rahimahullah berkata:
أما اتخاذ السترة فالصحيح الوجوب لقوله صلى الله عليه وسلم إذا صلى أحدكم فليصل إلى سترة وليدنُ منها
“Adapun
persoalan meletakkan sutrah (ketika solat), maka hukumnya yang tepat
adalah wajib berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
“Apabila salah seorang di antara kamu solat, maka solatlah menghadap
sutrah dan mendekatlah kepadanya.” (Dalam muhadharah beliau, As-ilah
al-Ikhwati min Amrika)
Syaikh al-Albani berpendapat di dalam Kitabnya:
والسترة
لا بد منها للإمام والمنفرد؛ ولو في المسجد الكبير. قال ابن هانئ في
مسائله عن الإمام أحمد: رآني أبو عبد الله (يعني: الإمام أحمد) يوماً وأنا
أصلي، وليس بين يدي سترة - وكنت معه في المسجد الجامع - ؛ فقال لي: استتر
بشيء. فاستترت برجل
ففيه
إشارة من الإمام إلى أنه لا فرق في اتخاذ السترة بين المسجد الصغير
والكبير، وهو الحق. وهذا مما أخل به جماهير المصلين من أئمة المساجد وغيرهم
في كل البلاد التي طفتها؛ ومنها السعودية التي أتيحت لي فرصة التطواف فيها
لأول مرة في رجب هذه السنة 1410 هـ
فعلى العلماء أن ينبهوا الناس إليها، ويحثُّوهم عليها، ويبيِّنوا لهم أحكامها، وأنها تشمل الحرمين الشريفين أيضاً
(Aku
katakan), “Sutrah dalam solat menjadi kewajiban bagi imam dan
orang-orang yang solat sendirian, sekalipun di dalam masjid besar.
Demikianlah pendapat Ibnu Hani’ dalam Kitab Masa’il dari imam Ahmad.
Kata Ibnu Hani’, “Pada suatu hari aku solat tanpa sutrah di hadapanku
yang mana ketika itu aku melaksanakan solat di dalam masjid Jami’. Imam
Ahmad melihat hal tersebut, lalu beliau pun berkata kepadaku, “Pasanglah
(letaklah) sesuatu sebagai sutrahmu!” Aku pun menjadikan seseorang
sebagai sutrah solatku.”
Peristiwa
ini adalah isyarat dari imam Ahmad bahawa orang yang solat di masjid
besar atau masjid kecil tetap berkewajiban mengenakan sutrah di
hadapannya. Pendapat inilah yang benar, tetapi kebanyakan orang-orang
yang solat telah mengabaikan sunnah ini termasuk para imam-imam masjid
dan selainnya di setiap tempat yang aku kunjungi termasuk ‘Arab Saudi
ketika mana aku diberi kesempatan thawaf buat pertama kalinya pada bulan
Rejab tahun 1410.
Sepatutnya
para ulama mengingatkan masyarakat tentang perkara ini, menganjurkan
supaya mengamalkannya, dan menjelaskan hukum berkaitan dengannya.
Kewajiban sutrah ini juga turut berlaku di dua tanah Haram (Masjid
al-Haram dan Masjid Nabawi).” (Ashlu Shifati Sholatin Nabi, 1/116-117 –
al-Maktabah al-Ma’arif)
Manakala
sebahagian ulama yang lain menyatakan bahawa hukum meletakkan sutrah
adalah sunnah, bukan wajib. Di antara yang berpegang dengan pendapat ini
adalah Imam Abu Hanifah, asy-Syafi’i, Ahmad, Ibnu Qudamah, an-Nawawi,
dan beberapa yang lainnya. Manakala dari kalangan ulama kontemporari
seperti Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Baz dan Syaikh Muhammad B. Soleh
al-‘Utsaimin rahimahumallah.
Kata Imam Abu Hanifah rahimahullah (Wafat: 150H):
ولا بأس أن يترك السترة إذا أمن المرور ولم يواجه الطريق
“Tidak
mengapa jika tidak meletakkan sutrah (ketika solat) apabila bebas dari
orang yang lalu-lalang di hadapan dan jika tidak menghadap ke arah
tempat yang menjadi laluan orang.” (Al-Fatawa al-Hindiyyah, 3/344 – Daar
ul-Fikr)
Ibnu Rusyd rahimahullah (Wafat: 595H) mengatakan:
واتفق العلماء بأجمعهم على استحباب السترة بين المصلي والقبلة إذا صلى، مفرداً كان أو إماماً
“Para
ulama telah berittifaq (sepakat) dengan ijma’ bahawa meletakkan sutrah
di antara orang yang bersolat dengan kiblat adalah suatu yang disukai
(mustahab) sama ada ketika solat sendirian atau sebagai imam.” (Ibn
Rusyd, Bidayat ul-Mujtahid, 1/113)
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
يُستحبُ للمُصلي أن يكون بين يديه سترة من جداراً أو سارية أو غيرها ويدنو منها بحيث لا يزيدُ بينهما على ثلاثة أذرع
“Disunnahkan
bagi orang yang solat supaya meletakkan sutrah di hadapannya, sama ada
daripada tembok, tiang, atau yang selainnya dan mendekat kepadanya
dengan jarak (antara dirinya dengan sutrah tersebut) tidak lebih dari
tiga hasta.” (Raudhat uth-Thalibin, 1/294 - al-Maktabah al-Islami, Cet.
3)
Juga sebagaimana kata Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah:
السترة في الصلاة سنة مؤكدة إلا للمأموم فإن المأموم لا يُسن له اتخاذ سترة اكتفاءً بسترة الإمام
“Sutrah
ketika solat adalah sunnah muakkadah, melainkan bagi makmum. Kerana
makmum tidak disunnahkan meletakkan sutrah, di mana para makmun cukup
bagi mereka dengan sutrah yang dipakai oleh imam.” (Fatawa Arkan
il-Islam, m/s. 343, no. 267)
Di antara dalil yang mereka pegang adalah:
كَثِيرُ
بْنُ كَثِيرِ بْنِ الْمُطَّلِبِ بْنِ أَبِي وِدَاعَةَ عَنْ بَعْضِ
أَهْلِهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِمَّا يَلِي بَابَ بَنِي سَهْمٍ وَالنَّاسُ يَمُرُّونَ
بَيْنَ يَدَيْهِ وَلَيْسَ بَيْنَهُمَا سُتْرَةٌ
Katsir
B. Katsir B. al-Muthallib B. Abi Wida’ah daripada sebahagian
keluarganya, daripada datuknya - Bahawasannya beliau pernah melihat Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di tempat setelah pintu Bani Sahm.
Orang ramai lalu-lalang di hadapan beliau sedangkan tidak ada sutrah
antara keduanya (Nabi dan Ka’bah). (Hadis Riwayat Ahmad, 6/399. Abu
Daud, no. 2016. Tetapi hadis ini dha’if, dinilai dha’if oleh al-Albani,
Syu’aib al-Arnauth, dan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad kerana ketidak
pastian perawi antara Katsir dengan datuknya)
al-Fadhl B. ‘Abbas berkata:
أتانا رسول الله صلى الله عليه وسلم ونحن في بادية لنا ومعه عباس فصلى في صحراء ليس بين يديه سترة
“Kami
datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kami berada
di gurun. Bersama-sama dengan beliau adalah ‘Abbas, maka beliau solat di
gurun sahara tanpa sutrah di hadapan beliau.” (Hadis Riwayat Abu Daud,
no. 718. Hadis ini juga dha’if. Dinilai dha’if oleh al-Albani, Syu’aib
al-Arnauth, dan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad)
‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
أقبلت
راكبا على حمار أتان، وأنا يؤمئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله
عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، وأرسلت الأتان
ترتع، فدخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي
“Aku
datang dengan menunggang keldai betina, yang pada ketika itu aku hampir
baligh, dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang solat di
Mina tanpa menghadap dinding. Maka aku melintas di hadapan sebahagian
saf kemudian aku melepaskan keldai betina tersebut supaya bebas mencari
makan. Aku pun masuk ke tengah-tengah saf dan tidak ada orang yang
menyalahkan aku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 76, 493, 861, 1857, dan
4412)
Sebahagian
ulama mengatakan tentang maksud “tanpa menghadap dinding” dalam hadis
tersebut adalah tanpa menghadap sutrah. Ini antaranya dikemukakan oleh
al-hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) dalam Fathul Bari, 1/171.
Tetapi
ini dapat dijawab bahawa sutrah tidak semestinya dinding. Oleh itu
apabila dikatakan tidak menghadap dinding, tidak semestinya membawa
maksud tidak menghadap sutrah! Boleh jadi yang dijadikan sebagai sutrah
adalah objek yang selain dinding.
Ini sebagaimana dalam hadis yang lain di mana ‘Abdullah B. ‘Abbas mengatakan:
رُكِزَتِ
الْعَنَزَةُ بَيْنَ يَدَيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ،
بِعَرَفَاتٍ، فَصَلَّى إِلَيْهَا وَالْحِمَارُ يَمُرُّ مِنْ وَرَاءِ
الْعَنَزَةِ
“Tombak
(atau lembing) ditancapkan di depan Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam
di ‘Arafah. Beliau solat dengan menghadap ke arahnya manakala keldai
lalu-lalang di belakang tombak tersebut.” (Hadis Riwayat Ahmad, no.
2175)
Musa B. Thalhah daripada bapanya, beliau berkata:
كُنَّا
نُصَلِّي وَالدَّوَابُّ تَمُرُّ بَيْنَ أَيْدِينَا فَذَكَرْنَا ذَلِكَ
لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مِثْلُ
مُؤْخِرَةِ الرَّحْلِ تَكُونُ بَيْنَ يَدَيْ أَحَدِكُمْ، ثُمَّ لاَ
يَضُرُّهُ مَا مَرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ
“Kami
pernah solat sedangkan haiwan tunggangan lalu-lalang di hadapan kami,
lalu kami menceritakan situasi tersebut kepada Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam. Maka beliau bersabda, “Sekiranya telah ada objek
seperti pelana haiwan tunggangan dan diletakkan di hadapan salah seorang
dari kamu (sebagai sutrah), maka sesuatu yang melintas di hadapan
mereka (di balik sutrah) tidak akan mengancam (menjejaskan) solatnya.”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 499)
Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا
قَامَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي، فَإِنَّهُ يَسْتُرُهُ إِذَا كَانَ بَيْنَ
يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ بَيْنَ يَدَيْهِ
مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِنَّهُ يَقْطَعُ صَلَاتَهُ الْحِمَارُ،
وَالْمَرْأَةُ، وَالْكَلْبُ الْأَسْوَدُ قُلْتُ: يَا أَبَا ذَرٍّ، مَا
بَالُ الْكَلْبِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَحْمَرِ مِنَ الْكَلْبِ
الْأَصْفَرِ؟ قَالَ: يَا ابْنَ أَخِي، سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا سَأَلْتَنِي فَقَالَ: الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ
شَيْطَانٌ
“Apabila
salah seorang di antara kamu melaksanakan solat, sesungguhnya dia telah
memiliki sutrah bila di hadapannya terdapat suatu penghadang seperti
pelana haiwan tunggangan. Jika di hadapannya tidak terdapat sesuatu
seperti itu, solatnya akan terputus jika dilintasi oleh keldai, wanita,
dan anjing hitam.”
Aku (‘Abdullah B. ash-Shamit) bertanya, “Wahai Abu Dzar, apa perbezaan antara anjing hitam dengan anjing merah atau kuning?”
Abu
Dzar menjawab, “Wahai anak saudaraku, apa yang engkau tanyakan ini juga
pernah aku tanyakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan
beliau menjawab, “Anjing hitam itu adalah syaitan.” (Hadis Riwayat
Muslim, Kitab Solat, no. 510)
Hadis
ini menjelaskan kriteria sutrah dan kesan solat tanpa sutrah yang mana
solat boleh terjejas kesempurnaannya akibat tidak ada sutrah di
hadapannya. Apatah lagi apabila ada sesuatu yang melintas berupa keldai,
wanita, atau anjing hitam yang melintas, maka solat boleh terputus
(terbatal) berdasarkan zahir hadis.
Kata Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah:
“...
melintasnya anjing, wanita, atau keldai membatalkan solat, bukan anjing
yang sedang diam itu membatalkan solat, bukan keldai yang menderum, dan
bukan juga wanita yang sedang baring di hadapan yang membatalkan solat.
Sebagaimana hadis yang menjelaskan bahawa ‘Aisyah baring di hadapan
Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam yang sedang solat selagi mana bukan
melintas di hadapannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/21)
Kata
beliau lagi, “Anjing yang membatalkan solat (apabila ia melintas)
adalah anjing hitam, bukan yang selainnya. Demikian juga dengan hadis
Ibnu ‘Abbas yang menjelaskan bahawa wanita yang membatalkan solat adalah
wanita yang telah datang haid (baligh), bukan yang selainnya.” (Shahih
Ibnu Khuzaimah, 2/22)
Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
يقطع الصلاة الكلب والمرأة الحائض
“Anjing
dan wanita yang telah berhaid membatalkan solat.” (Hadis Riwayat Ibnu
Khuzaimah, no. 832. Dinilai sahih oleh al-A’zhami)
Jadi, hadis-hadis yang ada ini saling menjelas dan mengkhususkan antara satu sama lain.
Berdasarkan
penjelasan hadis-hadis ini, bagi yang sengaja melaksanakan solat tanpa
sutrah dan tanpa ada uzur syar’i maka solatnya tetap sah, cuma
dibimbangi kesempurnaannya terjejas. Lebih-lebih lagi jika seorang
wanita berhaid (yang telah baligh), atau keldai, atau anjing hitam
melintas di hadapannya sebagaimana yang disebutkan oleh hadis tersebut,
maka solatnya terbatal. Jika yang selain 3 ini, maka solatnya tidak
terbatal tetapi kesempurnaan solat akan terjejas.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا
كَانَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي فَلَا يَدَعْ أَحَدًا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ
فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّ مَعَهُ الْقَرِينَ
“Janganlah
kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah dan jangan biarkan
seorangpun melintas di hadapanmu (di antara dirinya dengan sutrah).
Apabila orang tersebut tetap berkeras untuk melintas, maka halanglah dia
kerana dia ditemani syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 506. Ibnu
Khuzaimah, no. 800)
Ibnu Khuzaimah meletakkan hadis ini dalam bab: “Larangan Solat Tanpa Menghadap Sutrah.”
Hadis
ini selain menjelaskan larangan solat tanpa sutrah, ia turut
menjelaskan boleh dan perlunya menghalang orang yang cuba melintasi
hadapan kita ketika sedang solat.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إذا مر بين يدي أحدكم شيء وهو يصلي فليمنعه مرتين فإن أبى فليقاتله فإنما هو شيطان
“Apabila
ada sesuatu melintas di hadapan salah seorang di antara kamu yang
sedang solat, maka hendaklah ia menghalangnya dari melintas sebanyak dua
kali. Apabila ia tetap juga mahu melintas, maka lawanlah ia kerana ia
adalah syaitan.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, no. 818. Dinilai sahih
oleh al-A’dzami)
Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا
صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنْ النَّاسِ فَأَرَادَ
أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى
فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ
“Jika
salah seorang dari kamu solat menghadap sesuatu sebagai sutrah yang
membatasi dari orang ramai, kemudian ada seseorang yang hendak melintas
di hadapannya, maka halanglah ia. Jika ia enggan maka lawanlah ia,
kerana ia adalah syaitan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 509)
Kata Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H):
فإنما
هو شيطان أي فإنما هو شيطان مع الذي يريد المرور بين يديه لا أن المار من
بني آدم شيطان وإن كان اسم الشيطان قد يقع على عصاة بني آدم
“Sabda
Nabi, “... kerana ia adalah syaitan”, maksudnya adalah syaitan yang
berada bersama-sama orang yang melintas di hadapannya tersebut dan
bukanlah bermakna orang itu sendiri yang dinamakan syaitan dan penamaan
syaitan memang biasa turut ditujukan kepada orang-orang yang menentang
dari kalangan bani Adam. (Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah
al-An’am, 6: 112).” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/17)
Dalam
Sunan Abu Daud, hadis daripada Hisyam B. al-Ghaz daripada ‘Amru B.
Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya beliau berkata:
هَبَطْنَا
مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ ثَنِيَّةِ
أَذَاخِرَ فَحَضَرَتِ الصَّلَاةُ - يَعْنِي فَصَلَّى إِلَى جِدَارٍ -
فَاتَّخَذَهُ قِبْلَةً وَنَحْنُ خَلْفَهُ، فَجَاءَتْ بَهْمَةٌ تَمُرُّ
بَيْنَ يَدَيْهِ فَمَا زَالَ يُدَارِئُهَا حَتَّى لَصَقَ بَطْنَهُ
بِالْجِدَارِ، وَمَرَّتْ مِنْ وَرَائِهِ
“Kami
bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menuruni bukit
Adzakhir, lalu tibalah waktu solat. Beliaupun melaksanakan solat dengan
menjadikan dinding sebagai arah kiblat, manakala kami berada di belakang
beliau (sebagai makmum).
Tiba-tiba
ada seekor anak kambing hendak melintas di hadapan beliau, maka beliau
pun segera menghalangnya sehingga perut beliau hampir merapat
(menyentuh) dinding. Akhirnya anak kambing tersebut melintas melalui
belakang beliau.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 708. Dinilai sahih oleh
al-Albani)
Hadis
ini menunjukkan bolehnya bergerak dengan gerakkan yang banyak
semata-mata untuk menghalang sesuatu yang melintas di hadapan kita
ketika sedang solat walaupun dengan berjalan untuk merapatkan diri
dengan sutrah.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَوْ
يَعْلَمُ المَارُّ بَيْنَ يَدَيِ المُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ
أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ»
قَالَ أَبُو النَّضْرِ: لاَ أَدْرِي، أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، أَوْ
شَهْرًا، أَوْ سَنَةً
“Sekiranya
orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat mengetahui apa
akibat yang akan ia tanggung, nescaya ia berdiri selama empat puluh
lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang sedang
solat.”
Abu
an-Nadhr (salah seorang perawi hadis ini) berkata, “Aku tidak tahu yang
dimaksudkan dengan jumlah “empat puluh” tersebut, adakah empat puluh
hari, atau bulan, atau tahun.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 510.
Muslim, no. 507)
Ibnu Khuzaimah turut meriwayatkan hadis ini dan meletakkannya dalam bab:
التغليظ في المرور بين المصلي والدليل على أن الوقوف مدة طويلة انتظار سلام المصلي خير من المرور بين يدي المصلي
“Ancaman
keras melintas di hadapan orang yang sedang solat, dan merupakan dalil
berdiri lama menunggu ucapan salam seseorang yang sedang solat itu lebih
baik daripada melintas di hadapannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/14)
Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
معناه لو يعلم ما عليه من الإثم لاختار الوقوف أربعين على ارتكاب ذلك الإثم ومعنى الحديث النهي الأكيد والوعيد الشديد في ذلك
“Makna
hadis ini, sekiranya ia mengetahui betapa besarnya dosa dari perbuatan
tersebut, pasti dia akan memilih untuk berhenti selama empat puluh dari
perlu menanggung dosa akibat perbuatan tersebut. Jadi, hadis ini adalah
larangan yang cukup keras dan ancaman yang berat sebagai akibat
perbuatan melintas di hadapan orang solat.” (Syarah Shahih Muslim,
4/225)
Larangan
ini merujuk kepada perbuatan melintasi kawasan depan orang yang sedang
solat. Sekiranya dia mengenakan sutrah, maka dibolehkan melintas di
sebalik sutrah yang dikenakan. Dan tidak boleh melintas di dalam
lingkungan kawasan antara sutrah dengan orang solat yang mengenakannya.
Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ
يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ،
فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي
السَّفَرِ
“Dahulu
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar pada hari raya,
beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan
di hadapan beliau lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala
orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Beliau melakukan
perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, no. 494. Muslim, no. 501)
Dalil ini menunjukkan bahawa apabila imam telah mengenakan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.
Dalam hadis-hadis Nabi banyak disebutkan contoh-contoh objek yang sesuai dijadikan sebagai sutrah. Di antaranya adalah seperti:
1 – Manusia yang sedang duduk diam, berdiri, atau sedang berbaring. (Lihat hadis dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 285 dan 286)
2 – Haiwan tunggangan seperti unta dan keldai yang berdiri atau duduk diam.
3 – Tombak yang ditancapkan.
4 – Pelana haiwan tunggangan.
5 – Dinding atau tiang.
6 – Pokok.
7 – Anak panah yang ditancapkan.
8 – Tongkat.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment