Assalaamu’alaikum w.b.t….. berikut ini dikumpulkan
dan diringkaskan antara tanda2 kecil dan besar kiamat serta peristiwa2
yang sudah berlaku dan akan berlaku di akhir zaman. Lihatlah betapa
semua ramalan oleh Nabi Muhammad S.a.w sudah pun berlaku terutamanya
ramalan tentang peristiwa akhir zaman dan tanda-tanda kecil kiamat.
Yang ditunggu-tunggu sekarang hanya lah tanda-tanda besar kiamat
sahaja.
Sebelum itu sebagai peringatan bersama, jangan
jadikan panduan ini untuk melihat keburukan pada orang lain sahaja, itu
sudah namanya berburuk sangka kepada orang. Tetapi jadikan lah panduan
ini untuk muhasabah diri, dengan melihat ke dalam diri kita sendiri ni.
Ini kerana biasanya manusia hanya pandai dan nampak kesalahan dan
keburukan orang lain, sedangkan keburukan diri sendiri hanya dipandang
sebelah mata dan buat2 tidak tahu sahaja, na’uzubillah. Dan adakah kita
sudah betul2 melakukan apa yang diperintahkan oleh ALlah dan mengelakkan
dari apa yang dilarang? Dan apakah kita sudah tidak termasuk dalam
senarai mereka2 yang disebut dalam hadith2 berikut ini? Semoga kita
menjadi orang yang betul2 beriman dan sentiasa bertaubat kepadaNya
sebelum pintu taubat ditutup. Semoga menjadi pengiktibaran bersama,
amiin …….
DInasihatkan juga agar berjumpa dengan ustaz2 dan
ulamak2 yang muktabar bagi mendapat penjelasan tentang hadith2 ini.
Kerana jika membuat andaian2 sendiri itu namanya tidak bijak. Wallahu
a’lam :)
“Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat:
“Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang
kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorang pun yang dapat
menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru
haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak
akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba”. Mereka bertanya
kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah:
“Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah,
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.” Surah Al A’raaf : Ayat 187
Tanda-tanda awal / kecil kiamat (alamat sughra)
- Seorang hamba sahaya perempuan dikahwini tuannya.
- Orang-orang miskin dan pekerjaannya mengembala kambing tiba-tiba menjadi para pemimpin manusia banyak.
- Para pengembala
yang sama, bermegah-megahan dengan gedung-gedung besar dan
tinggi-tinggi. Berlumba-lumba membina bangunan tinggi;-
Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata; suatu ketika Rasulullah s.a.w.
nampak di tengah-tengah orang ramai. Lalu baginda didatangi oleh
seseorang yang menanyakan kepadanya: “Wahai Rasulullah s.a.w. bilakah
terjadinya kiamat?” Nabi s.a.w. menjawab dengan bersabda: “Tidaklah
orang yang ditanya mengenai masalah itu lebih mengetahui daripada yang
bertanya. Akan tetapi aku akan memberitahukan kepadamu tentang
tanda-tandanya. Iaitu, jika seorang ammah (hamba perempuan) melahirkan
majikannya, itulah yang termasuk di antara tanda-tandanya. Juga apabila
orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian menjadi
pemimpin masyarakat, maka itu juga di antara tanda-tandanya. Demikian
pula apabila para pengembala domba berlumba-lumba meninggikan bangunan,
maka itulah salah satu tandanya di antara tanda-tanda yang lima, yang
mana tidak mengetahui yang sesungguhnya selain Allah SWT.” Kemudian
baginda membacakan ayat berikut ini: “Sesungguhnya Allah, hanya pada
sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia-lah yang
menurunkan hujan, serta mengetahui apa yang ada di dalam rahim”;-
(Riwayat Ibn Majah).
Perhiasan Rumah Sama Dengan Perhiasan Pakaian;-
Rasulullah s.a.w bersabda: Hari Kiamat tidak akan tiba, sehingga
manusia membangun rumah dan melukisnya sebagai lukisan pakaian;-
(Riwayat Bukhari)
Kebanggaan Masyarakat Dengan Membina Masjid;-
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Tidak akan tiba hari kiamat, sehingga manusia bermegah-megah dan
berlebih-lebihan dalam urusan masjid;- (Riwayat Abu Dawud).
Masjid Menjadi Tempat Urusan Dunia Sahaja;-
Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Akan datang kepada manusia suatu masa, percakapan mereka dalam masjid
hanyalah mengenai urusan dunia semata. Allah tidak memerlukan mereka.
Dan janganlah kamu duduk bersama mereka (pada waktu dalam masjid);-
(Riwayat Hakim).
Ahli Ibadah Yang Bodoh Dan Qari Yang Fasik;-
Daripada Anas r.a. ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kelak,
di akhir zaman, akan ada ahli ibadah yang bodoh dan para qari yang
fasik;- (Riwayat Ibnu ‘Adi).
Golongan yang menjadikan lidahnya sebagai alat untuk mencari makan;-
Daripada Sa’ad bin Abi Waqash r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: Tidak akan terjadi kiamat, sebelum muncul suatu golongan yang
mencari makan melalui lidah-lidah mereka, seperti sapi yang makan dengan
lidah-lidahnya;- (Riwayat Ahmad).
Melimpahnya Harta Benda Dan Luasnya Perniagaan Serta Banyak Media Massa;-
Dari Umar bin Tsa’lab r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat, adalah tersebarnya
(melimpahnya) harta benda dan luasnya perniagaan. Dan pena-pena akan
bermunculan yang menunjukkan banyaknya bacaan dan tulisan;- (Riwayat
An-Nasae’i).
Ramai Orang Muda Menyebut Dalil Agama;-Rasulullah
s.a.w. telah bersabda: “Akan muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum
yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah fikirannya (cetek
faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil Bariyah
(firman Allah dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah. Pada
hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari
busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka
itu, siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di
hari kiamat. “;-(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan dapat dilihat juga sekarang banyak orang2 bukan
Islam yang menggunakan hujjah2 dari AlQuran dan AlHadith yang mana
mereka membuat komentar menurut kefahaman mereka sendiri sedangkan
mereka tidak faham dengan Islam.
Al-Quran Sebagai Alat Propaganda;-
Ali bin Thalib r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w
bersabda: Kelak akan muncul di antara umatku suatu kaum yang membaca
Al-Quran bukan seperti lazimnya kamu membaca, dan sembahyangmu jauh
berbeza dengan cara mereka bersembahyang. Mereka membaca Al-Quran dengan
mengira bahawa Al-Quran itu sebagai alat propaganda mereka, padahal
Al-Quran itu berisi peringatan yang harus mereka junjung. Bacaan mereka
itu tidak melebihi kerongkongnya (tidak sampai meresap ke dalam hati).
Mereka itu sebenarnya keluar dari Islam, bagaikan anak panah yang lepas
dari busurnya;- (Riwayat Muslim)
Menunjuk-Nunjuk Ketika Berdoa;- Dari
Saad r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: ” Kelak akan terdapat kaum yang
berlebih-lebih (menunjuk-nunjuk) dalam berdoa “;- (Riwayat Ahmad).
Merasa Rendah Dalam Ibadah;- Dari
Abu Sa’id Al-Kudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan muncul di
antara kamu suatu kaum, kamu merasa rendah dalam melakukan solat
dibanding dengan mereka, amal perbuatanmu jika dibandingkan dengan
perbuatan mereka dan puasa-mu jika dibanding dengan puasa mereka. Mereka
membaca Al-Quran tetapi tidak sampai melalui tenggoroknya. Mereka
sebenarnya keluar dari agama bagaikan anak panah yang terlepas dari
busurnya, jika di hujung panah dilihat, tidak ada bekas apa-apanya juga
di kayunya tidak ada apa-apanya juga di bulunya tidak terdapat apa-apa,
tetapi berlumba-lumba dalam senarnya;- (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Imam Yang Melambatkan Waktu Solat;-
Dari Ibnu Ame r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya nanti
selepas peninggalanku akan terjadi; para imam mengakhirkan solat dari
waktunya. Oleh kerana itu hendaklah kamu mengerjakan solat tepat pada
waktunya. Jika kamu datang bersama mereka untuk mengerjakan solat, maka
bersolatlah kamu;- (Riwayat Thabrani).
Al-Quran Hanya Tinggal Tulisannya Sahaja;-
Dari Ali r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Hampir datang suatu
zaman, di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan dari
Al-Quran hanya tinggal huruf dan tulisannya sahaja. Masjid-masjid indah
dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah yang
paling jahat di antaranya yang ada di bawah langit. Dari mereka (ulama)
itu akan muncul berbagai-bagai fitnah dan fitnah itu akan kembali ke
lingkungan mereka sendiri (umat Islam);- (Riwayat Baihaqi).
Kaum Yang Meminum Ayat-Ayat Al-Quran;-
Dari Uqbah bin Amir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak akan
muncul suatu kaum dari umatku. Mereka meminum Al-Quran seperti meminum
susu;- (Riwayat Thabran.).
Ulat-ulat Qurra’;- Dari Abu Umamah
r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak pada akhir zaman akan ada
ulat-ulat qurra’ (ahli baca Al-Quran). Barangsiapa yang berada pada masa
itu, hendaklah ia berlindung kepada Allah dari mereka;- (Riwayat Abu
Nu’aim).
Serbuan Musuh Islam Terhadap Kaum Muslimin;-Daripada
Tsauban r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Hampir tiba suatu
masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni
kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan
mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami
sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu
banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan
mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah
akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”
Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai
Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada
mati”;- (Riwayat Abu Daud )
Orang Mukmin Lebih Hina Daripada Haiwan;-
Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan datang atas
manusia suatu masa, di mana keadaan orang mukmin pada masa itu lebih
hina daripada domba” ;- (Riwayat Ibnu Asakir).
Ulama Yang Merugikan Umat Dan Agama;-
Abdullah bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya akan terdapat (akan ada) orang-orang dari umatku yang
pandai (amat faham dan ahli) tentang urusan agama dan membaca Al-Quran,
mereka berkata:“Kami datang kepada para Raja (pemimpin), biar kami
memperolehi keduniaan mereka dan kami tidak akan mencampurkan mereka
dengan agama kami.” Tidak terjadi hal yang demikian itu, seperti
(umpamanya) tidak akan dapat dipungut dari pohon yang berduri melainkan
duri. Demikian pula, tidak akan dapat diambil manfaat dari mendekatkan
diri kepada mereka itu melainkan beberapa kesalahan belaka;- (Riwayat
Ibnu Majah).
Menggadaikan Agama Kerana Dunia;-
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan
timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan
menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat
daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat
simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula.
Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang
jahat). Allah s.w.t. berfirman kepada mereka: “Apakah kamu tertipu
dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada
Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang
akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (
cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)”;-
(Riwayat Tirmidzi).
Empat Macam Golongan Mengerjakan Ibadat Haji:-
Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Kelak
apabila akhir zaman terdapat empat macam golongan mengerjakan ibadat
haji iaitu: 1) Para pemimpin mengerjakan ibadat haji hanya untuk ‘makan
angin’, 2) Terdapat orang kaya pergi haji hanya untuk berniaga, 3) Ramai
fakir miskin pergi haji dengan tujuan untuk mengemis, 4) Ahli qira’at
(pembaca Al-Quran) mengerjakan ibadat haji hanya untuk mencari nama dan
kemegahan.”
Penduduk Mekkah Akan Meninggalkan Kota Mekkah;-
Umar r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Kelak penduduk
Mekkah akan keluar meninggalkan Mekkah; kemudian yang meninggalkan itu
tidak akan kembali lagi kecuali hanya sebahagian kecil sahaja. Kemudian
yang sedikit itu menjadikan kota itu penuh bangunan. Kemudian mereka
keluar lagi dari kota itu dan tidak kembali selamanya “;- (Riwayat
Ahmad).
Daripada Abu Umamah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Kelak akan ada orang-orang dari Umatku (Islam) memakan berbagai macam
makanan dan memakai berbagai pakaian, banyak berbicara tanpa difikirkan
dahulu apa sebetulnya yang dibicarakan itu, maka itulah seburuk-buruk
manusia dari sebahagian Umatku (Islam);- (Riwayat Thabrani dan Abu
Nu’aim).
Menyalahgunakan Takdir;- Dari Jabir
r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘”Kelak pada akhir zaman
ada suatu golongan yang berbuat maksiat kalau ditanya mereka berkata’
Allahlah yang mentakdirkan perbuatan itu kami lakukan.’ Orang yang
menentang pendapat mereka pada zaman itu bagaikan orang yang menghunus
pedangnya dalam jihad fisabilillah.”’
- Ilmu agama sudah tidak dianggap penting lagi.
- Ilmu agama sudah tidak lagi difahami dan tidak dipelajari para manusia.
Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang;-Daripada
Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda;- “Bahawasanya Allah s.w.t. tidak mencabut (menghilangkan)
akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah s.w.t.
menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah
ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil
sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya,
mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan
menyesatkan orang lain.” ;- (Riwayat Muslim)
Umat Islam Mengikuti Langkah-Langkah Yahudi Dan Nasrani;-
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu,
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka
masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat
bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”
Nabi s.a.w. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”;- (Riwayat
Muslim).
Terlepasnya Islam Satu Demi Satu;-
Dari Umamah Al-Bahili dari Nabi s.a.w. bersabda: “Sungguh akan terlepas
pegangan Islam satu demi satu. Setiap terlepas salah satu pegangan, maka
orang-orang akan berebutan untuk bergantung kepada yang lain. Adapun
yang pertama kali terlepas itu adalah persoalan hukum, sedangkan yang
terakhir adalah perkara solat.”;- (Riwayat Ahmad).
Penyakit Umat-umat Dahulu;- Daripada
Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah s.a.w. bersabda:
“Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat
dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu
itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu
banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak
mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling
memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi”;- (Riwayat
Hakim).
Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit;-
Daripada Huzaifah bin AI-Yaman r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. pernah
memberitahu kami dua 2 buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan
berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya
menanti-nantikannya. Rasulullah saw. memberitahu bahawasanya amanat itu
turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah
al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan
al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya
Rasulullah saw. menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, Ialu
beliau bersabda, “Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah
amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti
bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah
amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di
tangan (menggelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti
menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau
gillingkan dengan kaki mu, kemudian menggelembunglah ia dan engkau
melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa”. Ketika Rasulullah saw.
menceritakan hadis ini beliau mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil)
Ialu menggilingkannya dengan kakinya.”Kemudian berpagi-pagi (jadiIah)
orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun
yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di
kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang
sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai
mengatakan, “Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya
pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya
sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.”
“Maka sesungguhnya telah sampai masanya saya pun tidak mempedulikan
manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual
beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanya lah yang akan
mengembalikan kepada ku (maksudnya agamanya lah yang dapat menahannya
dari khianat). Dan jikalau ia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak
yang bertugaslah yang akan menggembalikannya kepada ku (maksudnya jika
dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan /
pemerintahlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku
daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli
dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu
sahaja)”;- (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Tahun-tahun yang penuh tipu muslihat;-
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan
dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang
benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat
orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. Maka
ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab baginda s.a.w. :
Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum;-
(Riwayat Ibn Majah)
- Lahirnya para Dajjal ( tukang dusta ) yang jumlahnya hampir 30 orang semuanya mengaku sebagai utusan Allah (Yang didewa-dewakan)
- Adanya 2 golongan besar sama berbunuhan, dengan semboyan sama-sama akan menegakkan agama Islam.
Dajjal Sang Pendusta;- Dari Abu Hurairah r.a. berkata
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak akan terjadi Hari Kiamat
sebelum dimunculkan para dajjal sang pendusta, yang jumlahnya hampir
mendekati tiga puluhan, di mana masing-masing mengaku; bahawa dirinya
adalah Rasul Allah.”;- (Riwayat Muslim).
Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda, :
“Akan keluar dajjal dan khazzab di kalangan umatku. Mereka akan berkata
sesuatu yang baru di mana kamu dan bapa-bapa kamu belum pernah
mendengarnya. Awasilah mereka dan jagalah diri kamu daripada disesatkan
oleh mereka.””;- [Musnad Ahmad, 20/349].
Abu Hurairah r.a. berkata, “Nabi s.a.w. bersabda, :
“Qiamat tidak akan tiba sehingga muncul 30 dajjal, semua mengaku sebagai
utusan Allah, harta bertambah, berlaku huru-hara dan al-Harj
berleluasa.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah harj?” Baginda bersabda, “
Bunuh-membunuh.””;- [Musnad Ahmad, 2/457].
Abu Hurairah r.a. berkata, “Nabi s.a.w. bersabda,
:“Qiamat tidak akan tiba selagi belum muncul 30 dajjal, semua berbohong
mengenai Allah dan RasulNya.””;- [Musnad Ahmad, 2/450].
Ibn Umar r.a. berkata, “Daku mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda, :“Di kalangan umat ku akan ada 70 Penyeru, yang
mengajak manusia kepada neraka jahannam. Daku boleh beritahu nama mereka
dan kaum mereka jika daku mahu.”
Golongan Pendusta Di Bidang Hadith;-
Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Kelak akan ada di antara generasi akhir dari umatku orang-orang yang
meriwayatkan kepada kamu hadis yang belum pernah – juga bapa-bapa kamu –
mendengarnya. Untuk itu, hindarilah mereka.”;- (Riwayat Muslim).
Orang yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam;-
Daripada Ibn Abbas r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; Akan
ada di akhir zaman nanti orang-orang yang mengecat rambut mereka dengan
warna hitam, seperti tembolok burung merpati, dan mereka tidak akan
mencium baunya syurga;- (Riwayat Abu Dawud)
Lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki;-
Rasulullah s.a.w. bersabda: Di antara tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat
adalah laki-laki menyerupai wanita dan wanita menyerupai laki-laki;-
(Riwayat Abu Nu’aim).
Mendidik anjing lebih baik dari mendidik anak;-
Daripada Abu Dzar r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila zaman (Kiamat) semakin hampir, mendidik anjing lebih baik
daripada mendidik anak, tidak ada rasa hormat kepada yang lebih tua, dan
tidak ada rasa kasih sayang kepada yang lebih kecil, anak-anak zina
semakin ramai, sehingga laki-laki menyantap perempuan di jalanan, mereka
tidak ubahnya seperti kambing yang berhati serigala;- (Riwayat Thabrani
dan Hakim).
Orang Yang Baik Berkurangan Sedang Yang Jahat Bertambah Banyak;-
Daripada Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca
kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan
berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang
yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi
berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan
orang-orang baik”;- (Riwayat Thabrani).
Ulama Tidak Dipedulikan;- Daripada
Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Ya
Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak
bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi,
dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti
hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab
(pada fasihnya).”;- (Riwayat Ahmad).
- Ilmu agama dicabut ( banyaknya A’lim Ulama’ yang meninggal dunia ).
Ketiadaan Imam Untuk Sembahyang Berjemaah;-
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Lagi akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri
tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan sembahyang berjamaah
kerana tidak mendapatkan orang yang boleh menjadi imam”;- (Riwayat Ibnu
Majah).
Zaman Kekeliruan;- Anas ibn Malik
berkata, “Nabi s.a.w. bersabda: “Zaman Dajjal adalah zaman kekeliruan.
Manusia akan percaya pendusta dan tidak percaya orang yang berkata
benar. Manusia tidak percaya orang yang amanah dan mempercayai orang
yang khianat. Dan Ruwaibidhah akan diberi perhatian.” Sahabat bertanya
“Siapakah Ruwaibidhah itu?” Sabda Baginda, “Orang-orang yang menentang
Allah yang diberi penghargaan untuk berucap kepada masyarakat.”;-
[Musnad Ahmad, 3/220].
Akibat Berhenti Menyeru Kebaikan Dan Mencegah Kemungkaran;-
Anas ibn Malik r.a. berkata, “Ditanya kepada Nabi s.a.w, “Ya
Rasulullah, (apa akibat) apabila kami berhenti menyeru kebaikan dan
mencegah kemungkaran?” Nabi s.a.w. bersabda: “Apa yang telah berlaku
kepada Bani Israel, akan berlaku kepada kamu. Apabila zina berleluasa di
kalangan pemimpin kamu, ilmu pada urusan orang yang terendah di
kalangan kamu dan kuasa dimiliki oleh orang yang rosak di kalangan
kamu.””;- [Riwayat Ibnu Majah, juga Kitab al-Fitan (Hadith 4015),
2/1331; Musnad Ahmad 3/187.].
Manusia Yang Berhati Syaitan;- Dari
Ibnu Abbas r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kelak akan
datang di akhir zaman segolongan manusia, di mana wajah-wajah mereka
adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti
serigala-serigala yang buas, tidak ada sedikit pun di hati mereka belas
kasihan. Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak pernah berhenti dari
melakukan kekejian. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan
memperdaya kamu. Akan tetapi apabila kamu menghindar dari mereka, maka
mereka akan mencela kamu. Apabila berbicara dengan kamu, maka mereka
akan membohongi kamu. Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, maka
mereka akan mengkhianati kepercayaan yang kamu berikan. Anak kecil
mereka bodoh, pemuda mereka licik, sementara yang tua tidak menyuruh
berbuat baik dan melarang yang mungkar. Mereka itu sentiasa membanggakan
diri dalam kehinaan. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti
kesusahan. Orang yang sopan-santun di tengah mereka adalah sesat, dan
orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh,
orang beriman di kalangan mereka adalah lemah, sedangkan orang fasik
menjadi mulia. Sunnah di tengah mereka menjadi bidaah, sedangkan bidaah
itu sendiri adalah sunnah. Maka ketika itulah mereka dikuasai oleh
orang-orang paling jahat di antara mereka. Sedangkan orang pilihan
apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.”;- (Riwayat Thabrani).
Hilangnya Amanat Dan Munculnya Orang-Orang Gemuk;-
Dari Zahdam bin Mudlorrib r.a. mendengar Imron bin Khushoin berkata
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Sesungguhnya sebaik-baik kamu
adalah yang hidup pada masaku, kemudian orang-orang yang hidup selepas
mereka, kemudian orang-orang yang hidup selepas mereka.” Imron berkata:
“Aku tidak mengerti; Apakah Rasulullah s.a.w. berkata tentang
peristiwa-peristiwa selepas zamannya, dua kali atau tiga kali
(generasi)?” Kemudian sabda Rasulullah: “ Sesudah mereka ada suatu kaum
yang berhak menjadi saksi tapi diminta kesaksiannya (tidak dijadikan
sebagai saksi), mereka berkhianat dan tidak dapat dipercaya, mereka
bernazar (berjanji) tidak menepatinya. Dan kalau sudah terjadi demikian
muncullah orang-orang gemuk di antara mereka” ;- (Riwayat Muslim).
Dilema Antara Berbuat Maksiat Dan Meninggalkannya;-
Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Kelak
akan datang atas umatku; suatu masa di mana seseorang dihadapkan pada
dua pilihan antara kelemahan dan kemaksiatan (kejahatan, kecabulan,
pengkhianatan dan sebagainya). Barangsiapa mendapati (berada) pada masa
itu, hendaklah ia memilih kelemahan dan meninggalkan kecabulan
(penyelewengan) “;- (Riwayat Hakim).
Orang yang rosak akhlak;- Abu
Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda: “Dunia ini tidak akan
Qiamat selagi orang yang paling seronok ialah orang yang rosak akhlak
anak kepada orang yang rosak akhlak.”;- [Riwayat Ahmad, Musnad, 2/358.].
Golongan Anti Hadith;- Daripada
Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang
duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya
sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata : “Pegangan kami dan kamu
hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran
kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”. Kemudian Nabi
s.a.w. melanjutkan sabdanya: “Padahal apa yang diharamkan oleh
Rasulullah s.a.w. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah
s.w.t.”;- (Riwayat Abu Daud)
Munculnya Golongan Yang Engkar Pada As-sunnah;-
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang
suatu kaum yang mematikan (menolak untuk menggunakan dasar) as-sunnah
dan menyangkal tentang agama. Maka atas merekalah laknat Allah, laknat
orang-orang yang melaknat, laknat Malaikat serta laknat semua manusia;-
(Riwayat Ad Dailami).
Pemimpin Yang Diktator;- Dari Abu
Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:“Sesungguhnya di
kalangan kamu nanti akan tertanam kemahuan besar kedudukan (politik)
dalam kerajaan. Sesungguhnya yang demikian itu akan menjadikan kamu
menyesal dan susah pada Hari Kiamat; Sebaik-baik ibu adalah yang mahu
menyusui anak (ertinya sebaik-baik pemimpin adalah yang memperhatikan
kepentingan rakyat), dan seburuk-buruk ibu adalah ibu yang tidak mahu
menyusui anaknya (ertinya seburuk-buruk pemimpin adalah pemimpin yang
tidak memerhatikan kepentingan rakyat);- (Riwayat Bukhari dan Nasae’i).
Pemimpin Yang Menipu Rakyat;- Ka’ab
bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di
kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta
dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka
dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan
termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat
sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi,
Nasae’i dan Hakim).
Iman Yang Semakin Lemah;- Dari Abu
Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dahulukanlah amal
soleh di mana pada waktu itu akan terjadi huru-hara dahsyat bagaikan
malam yang gelap gelita, seseorang pada pagi harinya beriman lalu pada
petang harinya menjadi kafir, atau petang harinya kafir, lalu pagi
harinya menjadi mukmin. Ia menjual agamanya dengan keduniaan” ;-
(Riwayat Muslim).
Abu Umamah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Kelak akan terjadi suatu fitnah, yang keadaan mukmin sedang
petang harinya menjadi kafir, kecuali orang yang Allah dihidupkan dengan
ilmu yang manfaat” ;- (Riwayat Ahmad dan Thabrani).
Pemimpin Yang Menyembunyikan Hak Rakyat;-
Dari Ubadah bin Shamit r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesudahku nanti ada pemimpin-pemimpin yang menguasai urusanmu. Mereka
mengetahui urusanmu, sedangkan kamu sendiri tidak mengetahuinya. Mereka
menyembunyikan atasmu sesuatu yang menjadi hakmu sedang kamu
mengetahuinya. Barangsiapa yang menemui kejadian seperti itu, maka
janganlah mentaati orang yang berbuat durhaka kepada Allah Azza Wa
jalla;- (Riwayat Thabrani dan Hakim).
Pemimpin Yang Membuat Kerosakan;-
Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Nanti kamu
sekalian akan dikuasai para pemimpin yang selalu membuat kerosakan, dan
Allah tidak akan memberikan perbaikan/pertolongan kepada mereka.
Barangsiapa di antara mereka taat kepada Allah, maka bagi mereka akan
mendapat pahala dan kamu harus bersyukur. Dan barangsiapa di antara
mereka yang membuat maksiat kepada Allah, maka mereka akan mendapat dosa
dan kamu harus bersikap sabar;- (Riwayat Thabrani).
Ramai Pemimpin Tetapi Tidak Dapat Menjamin Ketenteraman;-
Dari Abdurrahman Al-Anshari r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat adalah banyaknya bacaan
(ramai yang pandai membaca) dan sedikit di antara mereka yang mengerti
agama, banyak umara’ (pemimpin) tetapi ketenteraman berkurang;- (Riwayat
Thabrani).
Pemimpin Yang Diingkari Rakyat;-
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak akan ada
pemimpin yang kamu mengenalnya, tetapi kamu mengingkari (perbuatan)nya.
Barangsiapa yang menentang mereka (tidak mengikuti dan tidak mendukung
perbuatannya), mereka akan selamat. Barangsiapa yang menjauhi mereka, ia
akan aman sentosa, barangsiapa yang bergaul (mendukung) dengannya, maka
ia akan binasa;- (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Thabrani).
Dari Ummi Salmah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: Nanti akan ada penguasa; Kamu sekalian mengenalnya, tetapi
kamu mengingkarinya. Barangsiapa yang membencinya, maka ia akan bebas;
barangsiapa yang mengingkarinya dia akan selamat, tetapi mereka ada juga
pengikutnya;- (Riwayat Muslim dan abu Daud).
Umat Islam akan tertimpa penyakit orang kafir;-
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Umatku (Islam) nanti akan ditimpa penyakit masyarakat; iaitu: berupa
kejahatan, kebencian, kesombongan, bermegah-megahan, perselisihan dalam
hal dunia, saling benci-membenci dan saling hasut-menghasut, sehingga
terjadilah kerosakan (kehancuran perpaduan umat)” – (Riwayat Hakim).
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w
bersabda: Sesungguhnya sebahagian tanda-tanda dekatnya hari kiamat
adalah hilangnya kemanfaatan ilmu, makin ketara kebodohan, diminumnya
khamar (arak), meluasnya perzinaan dengan terang-terangan, banyaknya
wanita dan sedikitnya lelaki sehingga lima puluh wanita mempunyai satu
pelindung lelaki;- (Riwayat Bukhari).
Zaman Di Mana Halal Dan Haram Dianggap Sama Oleh Manusia;-
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Akan datang kepada manusia suatu masa, di mana kala itu seseorang tidak
lagi mempedulikan dari mana ia memperolehi hartanya, apakah dari yang
halal atau haram” – (Riwayat An Nasa’i).
- Tersebarnya perzinaan kerana memperolehi
izin rasmi untuk mendirikan tempat pelacuran/perzinaan dari setiap
pemerintah yang bersangkutan.
-) Segala minuman keras seperti khamr (arak)
sama diminum dengan berleluasa dan bebas, peminumnya sudah tidak lagi
mengenal dosa, bahkan sebagai kebanggaan.
Dikatakan manusia halalnya riba, arak, perzinaan, pakaian dari sutera dan kecapi-kecapi (alat-alat muzik);- Sabda
Rasulullah s.a.w: “Nanti pada akhir zaman akan terjadi gempa bumi dan
penyakit kolera dan perubahan-perubahan ini terjadi apabila muzik-muzik,
biduanita-biduanita telah maharajalela dalam kehidupan umat manusia dan
minuman keras (arak) telah dihalalkan” – (Riwayat Thabrani).
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya nanti akan
benar-benar terjadi; akan ada suatu kaum dari Umatku (Islam) yang
mengatakan halalnya perzinaan, pakaian sutera, arak dan kecapi-kecapi
(alat-alat muzik).” (Riwayat Thabrani)
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sungguh akan ada
beberapa orang dari umatku yang meminum khomr (arak), mereka namakan
dengan nama lain. Kepala mereka itu dilalaikan dengan bunyi-bunyian
(muzik) serta nyanyian, lalu Allah tenggelamkan mereka ke dalam bumi dan
akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi” – (Riwayat Ibnu
Majah).
Rasulullah s.a.w bersabda: “Kelak pada akhir zaman
akan ada dari umat ini suatu kaum yang tingkah lakunya akan jadi seperti
kera dan babi. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Tidakkah mereka
bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad
utusan Allah?” Rasulullah menjawab: “Betul, mereka juga berpuasa,
sembahyang dan haji.” Mereka bertanya lagi: “Lalu mengapa keadaan mereka
menjadi begitu?” Rasulullah menjawab: “Mereka mengadakan
nyanyian-nyanyian, menabuh gendang disertai para biduanita dan penari,
lalu pada malam harinya mereka mengadakan pesta minum-minuman dan
bermain-main maka pada pagi harinya mereka berubah menjadi tingkah
lakunya seperti kera dan babi. Dan sungguh akan ada seorang yang pergi
berbelanja ke kedai atas suruhan temannya, setelah ia kembali kepadanya,
lalu ia berubah tingkah lakunya seperti menjadi kera dan babi” –
(Riwayat Ibnu Abi Dunia).
Ditimpa tanah runtuh dan berbagai bala bencana;-
Dilaporkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Demi
Dia yang mengutuskan daku dengan kebenaran, bumi ini tidak akan hancur
sehingga penghuninya ditimpa tanah runtuh, ditimpa hujan batu dan
berubah menjadi binatang.” Orang bertanya, “Bilakah terjadi demikian
wahai Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apabila kamu melihat wanita
menunggang di atas pelana, penyanyi berleluasa, saksi-saksi memberi
keterangan palsu menjadi kebiasaan dan lelaki meniduri lelaki dan wanita
meniduri wanita.” – [al-Haithami, Kitab al-Fitan].
Dua Golongan Yang Akan Menjadi Penghuni Neraka;-Daripada
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada dua
golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat
mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti
bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan
yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu
berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala
mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini
tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya.
Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang
sangat jauh daripadanya”;- (Riwayat Muslim).
- Jumlah orang lelaki lebih sedikit kerana
sedikitnya bayi lelaki yang lahir, dan ramai kaum lelaki yang sama,
mati/meninggal dunia.
Daripada Abdillah ia berkata, bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Mendekati hari kiamat kelak, hanya akan diberikan
salam kepada orang-orang tertentu. Juga akan marak kegiatan perdagangan,
sehingga isteri-isteri pun ikut terlibat membantu suaminya dalam
berdagang. Dan juga akan terjadi pemutusan hubungan persaudaraan” –
(Riwayat Ahmad).
Perdagangan, perniagaan, terputusnya persaudaraan, saksi palsu, tersebar luasnya tulisan-tulisan;-
Thariq ibn Shibab berkata, “Kami sedang duduk bersama Abdullah ibn
Mas’ud apabila datang seorang lelaki memberitahu waktu solat sudah tiba.
Maka kami pun bangun dan menuju ke masjid. Selesai solat, tampil
seorang lelaki kepada Abdullah ibn Mas’ud dan berkata, “As-salamu’alaika
wahai Abu Abdur Rahman.” Jawab beliau, “Allah dan RasulNya telah
berkata benar.” Semasa pulang kami bertanya sesama sendiri, “Kamu
dengarkah apa jawapan beliau? Siapakah yang akan tanya beliau
mengenainya?” Daku berkata, “Biar saya yang tanya beliau, lalu daku pun
bertanya beliau sebaik sahaja beliau keluar. Beliau meriwayatkan dari
Baginda s.a.w, : “Sebelum Qiamat tiba, terdapat satu ucapan khusus untuk
orang kenamaan; perdagangan tersebar luas sehingga wanita akan turut
suaminya dalam perniagaan; perhubungan keluarga akan putus; saksi palsu
berleluasa sedang saksi benar akan sukar ditemui dan tulisan tersebar
luas.” – [Riwayat Ahmad, Musnad, 1/407].
Bahaya Kemewahan;- Daripada Ali bin
Abi Thalib r.a. berkata, “Bahawasanya kami sedang duduk bersama
Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair
r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang
bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w.melihat kepadanya
baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan
Mus’ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh
ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di
Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala
harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w.
bersabda: “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di
waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian
yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu
hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana
kamu memasang kelambu Ka’bah?”. Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah,
tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan
memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari
rezeki”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini
adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu”;- (Riwayat
Tirmidzi).
Penyelewengan, Maksiat dan Penghindarannya;-
Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan datang atas
manusia, suatu masa, yang mereka tidak sanggup lagi mencari penghasilan
kecuali dengan jalan maksiat (antara lain penyelewengan), sehingga orang
berani berdusta dan bersumpah, maka apabila masa itu sudah terjadi
(timbul), hendaklah kamu lari menghindari perbuatan itu.” Baginda
ditanya: “Ya, rasulullah! Ke tempat mana kita akan lari menghindar?”
Baginda menjawab: “Kepada Allah: Kepada Kitab-Nya dan kepada sunnah
Nabi-Nya”;- (Riwayat Ad Dailami).
Orang sudah tidak mempedulikan halal dan haram
– “Akan datang suatu masa kepada manusia, di mana orang tidak lagi
mempedulikan apa yang diperolehnya apakah itu usaha yang halal atau yang
haram”;- (Riwayat Nasae’i).
Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan
datang kepada manusia suatu zaman, yang tidak peduli lagi seseorang di
zaman itu dari mana harta diambil, (apakah yang diambilnya itu halal
atau haram)”;- (Riwayat Nasae’i).
Maraknya Rasuah;- Mu’az bin Jabal
berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Ambillah pemberian, selama
itu berbentuk sebuah pemberian. Sedangkan jika telah menjadi bentuk
suap, maka dalam agama, janganlah kamu mengambilnya. Tidaklah keengganan
kamu meninggalkannya lalu mencegah kamu dari kemiskinan dan keperluan
hidup. Ingat, lingkaran Islam selalu berputar, maka berputarlah bersama
Al-Quran ke mana pun ia mengarah. Ingat, Al-Quran dengan penguasa akan
berbeza arah. Maka dari itu, janganlah kamu memisahkan diri dari
Al-Quran. Ingat, kelak akan berkuasa atas kamu pemimpin-pemimpin yang
akan memutuskan untuk diri mereka sesuatu yang tidak diputuskan untuk
kamu. Jika kamu membangkang kepada mereka, maka sudah tentu mereka akan
membunuh kamu. Akan tetapi, apabila kamu mematuhinya, maka mereka pasti
akan menyesatkan kamu. Para sahabat bertanya: “Apa yang harus kami
lakukan pada waktu seperti itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:
“Lakukanlah seperti yang dilakukan oleh para pengikut Isa bin Maryam, di
mana mereka menyebar dengan membawa gergaji, lalu memikul kayu. Kerana,
mati dalam ketaatan kepada Allah jauh lebih baik daripada hidup dalam
keadaan bermaksiat kepadaNya”;- (Riwayat Tabrani).
Maraknya praktik riba;- Daripada Abu
Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: Sungguh akan datang
kepada manusia suatu masa, di mana tidak tersisa dari mereka seorang pun
kecuali menjadi pemakan riba. Dan barangsiapa yang tidak mahu
memakannya, maka pasti ia akan terkena oleh debunya;- (Riwayat Ibnu
Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang suatu masa, di
mana manusia menganggap halal riba dengan nama jual beli;- (Riwayat
Ibnul Qayyim).
- Meluapnya jumlah kaum wanita melebihi kaum lelaki dengan perbandingan 50 berbanding seorang lelaki.
- Banyak terjadi gempa bumi.
Keluarnya Sumber kekayaan dan perang di Timur Tengah (Iraq).
Munculnya Galian-galian Bumi;-
Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan
Rasulullah s.a.w. sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang
pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari
tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: “Hai RasuIullah!
Emas ini adalah hasil dari galian kita”. Lalu Nabi s.a.w. menjawab,
“Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan
menguruskannya adalah orang-orang yang jahat”;- (Riwayat Baihaqi).
Rakus Terhadap Hal Dunia;- Sabda
Rasulullah s.a.w.: (Jika) Hari Kiamat telah hampir terjadi; tidak
bertambah manusia kecuali loba (rakus akan harta benda), dan mereka
tidak bertambah dekat kepada Allah, kecuali akan menambah jauh dari
Allah ( dari ajaran agama);- (Riwayat Thabrani)
Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila akhir zaman,
adalah kekuatan agama manusia terletak pada dinar dan dirham (harta);-
(Riwayat Turmidzi)
Ramai Orang Kaya Tinggal Di Lereng Gunung;-
Rasulullah s.a.w bersabda: Sungguh akan ada beberapa kaum yang
bertempat tinggal di dekat (lereng) gunung, lalu orang-orang fakir
datang kepada mereka untuk sesuatu keperluannya, kemudian mereka
berkata: “Kembalilah kepada kami esok.” Kemudian Allah menyatukan gunung
itu atas mereka;- (Riwayat Bukhari).
Peperangan Di Kawasan Sungai Furat (Iraq) Kerana Merebut Kekayaan;-Daripada
Abu Hurairah r.a. berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
‘Tidak terjadi hari qiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu
sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak
sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk
merebutkannya. Maka terbunuh 99 daripada 100 orang yang berperang. Dan
masing-masing yang terlibat berkata: “Mudah-mudahan akulah orang yang
terselamat itu”. Di dalam riwayat lain ada disebutkan; “Sudah dekat
suatu masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak
perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di situ
janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu”;- (Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Tentera Yang Kejam;- Dari Abu Umamah
r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kelak pada akhir zaman
akan ada angkatan tentera sejak pagi-pagi dalam kemurkaan Allah, dan
waktu petang juga dalam kemurkaan Allah. Oleh kerana itu waspadalah kamu
sekalian! Jangan sampai kamu sekalian dijadikan perisai buat mereka;-
(Riwayat Thabrani).
- Zaman sudah dekat-mendekati.
Masa berlalu bagaikan kobaran api;-
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Tidak terjadi kiamat, hingga waktu terasa saling berdekatan. Satu tahun
seperti satu bulan dan satu bulan laksana satu minggu. Satu minggu
bagaikan satu hari, dan satu hari ibarat satu jam, serta satu jam
laksana kobaran api (cepat sekali berlalu);- (Riwayat Tirmidzi).
- Banyak terjadi perkara fitnah-memfitnah.
Fitnah bagaikan malam yang gelap-gelita;-
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Mendekati hari kiamat akan terdapat berbagai macam fitnah laksana
bahagian malam yang gelap-gelita. Kala itu seseorang menjadi Mukmin di
pagi hari, berbalik menjadi kafir memasuki petang hari. Dan menjadi
Mukmin di petang hari, berbalik menjadi kafir memasuki pagi hari.
Orang-orang pun akan menjual agamanya dengan harta benda duniawi;-
(Riwayat Tirmidzi).
- Banyaknya haraj, yakni bunuh-membunuh (Pembunuhan bermaharajalela dalam masyarakat kesan dari jahiliyah moden).
Pembunuhan demi pembunuhan;-
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Tidak akan terjadi kiamat, hingga munculnya banyak kekacauan. Lalu para
sahabat bertanya: Apa yang dimaksud ‘harj’ (kekacauan) itu, wahai
Rasulullah? Nabi s.a.w. menjawab: Pembunuhan demi pembunuhan;- (Riwayat
Muslim).
- Banyaknya harta bagi setiap orang, sehingga menjadi bingung untuk membelanjakannya.
- Ramai orang yang bermegahan dalam gedung-gedung besar dan banyaknya pasar.
Rasulullah bersabda : “Kiamat hampir saja akan
berdiri apabila sudah banyak perbuatan bohong, masa (waktu) akan terasa
cepat dan pasar-pasar akan berdekatan (kerana saling banyaknya)” (sahih
Ibnu Hibban).
Binatang buas dan benda-benda padat berbicara;-
Daripada Abu Said al Khudri r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: Demi Dzat yang telah menciptakan diriku dengan kekuasaan-Nya,
tidak akan terjadi Hari Kiamat sebelum binatang-binatang buas berbicara
dengan manusia. Sebelum seseorang diajak berbicara oleh hujung serta
tali-tali seliparnya. Dan pahanya akan mengkhabarkan kepadanya tentang
apa yang dilakukan oleh isterinya sesudahnya;- (Riwayat Tirmidzi)
Bagaikan Menggenggam Bara Api;-
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Akan datang kepada manusia suatu masa di mana orang yang berpegang
kepada agamanya bagaikan orang yang menggenggam bara api;- (Riwayat
Tirmidzi)
Punca Kebinasaan Seseorang;-Daripada
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Selagi akan
datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat
menyelamatkan imannya, kecuali bila ia lari membawanya dari suatu puncak
bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang
yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian
(pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang
membabitkan kemurkaan Allah s.w.t. Maka apabila ini telah terjadi,
kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isterinya
dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai isteri dan anak, maka
kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya.
Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah
berpunca dari menepati kehendak kaum kerabatnya (adik beradiknya
sendiri) atau dari menepati kehendak jirannya”. Sahabat bertanya, “Wahai
Rasulullah s.a.w., apakah maksud perkataan engkau itu ? (kebinasaan
seseorang dari kerana isterinya, atau anaknya, atau orang tuanya, atau
keluarganya, atau jirannya?)”. Nabi s.a.w. menjawab, “Mereka akan
mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari
kerana itu ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan
dirinya di jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya”;-
(Riwayat Baihaqi)
Bencana Yang Akan Menimpa Umat Islam Di Akhir Zaman;-
Abdullah ibn Umar berkata, Rasulullah s.a.w. telah menghampiri kami
lalu bersabda: “Wahai Muhajirin, kamu akan ditimpa 5 bencana; semoga
Allah tidak mengizinkan kamu hidup untuk menyaksikannya: (1) Apabila
zina berleluasa, ketahuilah bahawa ia tidak berlaku tanpa ditimpa
penyakit-penyakit baru yang tidak pernah diketahui/dialami oleh manusia
sebelumnya. (2) Apabila manusia menipu dalam timbangan, ia tidak berlaku
tanpa ditimpa kemarau dan kebuluran ke atas orang ramai serta ditindas
oleh pemerintah mereka. (3) Apabila manusia tidak memberi zakat,
ketahuilah bahawa hujan akan tertahan ke atas mereka. (4) Apabila
manusia memutuskan perjanjian mereka dengan Allah dan RasulNya,
ketahuilah bahawa Allah akan menghantar musuh kepada mereka untuk
merampas kepunyaan mereka. (5) Apabila pemerintah mereka tidak
memerintah mengikut Kitabullah, ketahuilah bahawa Allah SWT akan
pecah-belahkan mereka dan menjadikan mereka berbalahan sesama
mereka.”;- (Riwayat Ibn Majah, Kitab al-Fitan (Hadith 4019), 2/ 1332).
Tanda-tanda akhir / besar kiamat (alamat kubra)
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra.
berkata: “Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu
sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu
perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari
qiamat”. Lalu Nabi saw. bersabda: “Tidak akan terjadi hari qiamat
sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian
beliau menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari
tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan
Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang
ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari
arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar
mereka”. Hadith Riwayat Muslim
Keterangan hadith di atas
Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah
saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan
terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah:
1 – Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema
di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang
kafir dan menyebabkan kepala mereka menjadi hitam seperti kepala kambing
yang disalai atas bara api.
2 – Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan,
hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya. Dia akan
keluarl dari arah pertengahan antara Laut Syam dan Laut Yaman di Timur
Tengah, mengaku sebagai Nabi Isa a.s, tuhan orang Kristian dan Bani
Israel.
Nabi s.a.w. bersabda: “
Dajjal
akan muncul di suatu tempat di timur bernama Khurasan. Pengikutnya
adalah manusia yang berwajah seperti perisai yang telah dipalu tukul.”;- [Riwayat Tirmidzi, Abwab al-Fitan, 2338, 6/495.]
3 – Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini.
Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa
itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb
orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal. Ianya
juga sebagai bukti besar Islam bahawa Dajjal adalah bukannya Nabi Isa
a.s yang diwar-warkan sebagai tuhan Kristian dan Yahudi.
Turunnya Nabi Isa dari langit;- Abu Hurairah r.a.
berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; Demi Dzat yang jiwaku ada
dalam kekuasaan-Nya, sungguh amat dekat saat turunnya Isa putera Maryam
di kalangan kamu sekelian yang bertindak sebagai seorang hakim yang
adil. Ia akan memecahkan semua kayu palang salib, membunuh babi,
melenyapkan pajak gadai dan pada waktu itu harta melimpah ruah, sehingga
seorang pun tidak ada yang mahu menerima harta yang disedekahkan
kepadanya, hingga satu sujud lebih baik daripada dunia dan apa yang ada
di dalamnya. Kemudian Abu Hurairah berkata: ” Bacalah, jikalau engkau
semua menginginkannya:” Tidak ada sama sekali dari golongan ahli kitab,
melainkan mereka hanya beriman kepada Isa a.s. sebelum mangkat baginda
iaitu setelah turunnya ke bumi dan sebelum tibanya hari kiamat. Pada
hari kiamat Isa a.s. akan menjadi saksi atas semua orang.
Isa a.s. mencari Dajjal;- Daripada Urwah bin Mas’ud
Ats Tsaqafi berkata, “Saya mendengar Abdullah bin Amr berkata bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda: Dajjal itu akan keluar dari kalangan umatku,
kemudian ia menetap selama empat puluh. Yang meriwayatkan hadis ini
berkata: “Saya tidak mengerti apakah yang dimaksudkan itu empat puluh
hari atau empat puluh bulan atau empat puluh tahun…” Selanjutnya
baginda bersabda: “Allah mengutus Isa mencari Dajjal itu kemudian
membinasakannya. Setelah itu manusia menetap seperti biasa selama tujuh 7
tahun. Tidak ada pertengkaran antara dua 2 orang (pada waktu itu umat
manusia hidup dalam kerukunan;- (Riwayat Muslim).
Perang melawan Yahudi;- Daripada Abu Hurairah r.a.
berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Hari Kiamat tidak akan tiba,
sehingga (Kaum Muslimin) memerangi Kaum Yahudi, sehingga batu tempat
orang Yahudi bersembunyi itu pun berkata: “Hai, Orang Islam! Ini ada
orang Yahudi, bunuhlah!”;- Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Umat Islam Memusnahkan Orang-Orang Yahudi;-Daripada
Abu Hurairah r.a. berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda: ”Tidaklah akan berlaku qiamat, sehingga kaum Muslimin
memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik
batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata: “Hai orang
Islam, inilah orang Yahudi ada di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah
ia! “, kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana
sesungguhnya pohon itu adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itulah ia
melindunginya)”;- Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Nabi Isa a.s kemudiannya akan wafat di madinah.
4 – Keluarnya bangsa Ya’juj dan Ma’juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini,
iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari
besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama
dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
Telah diriwayatkan bahawa, Rasulullah s.a.w telah
masuk ke rumahnya dengan rasa ketakutan sambil berkata: ”Laa Ilaaha
Ilallah, celaka bangsa Arab dari bahaya yang telah dekat, ini telah
terbuka dinding Yakjuj Makjuj sebesar ini sambil melingkarkan jari
telunjuk dengan ibu jarinya.
Zainab bin Jahsy bertanya: “Ya Rasulullah! Dapatkah
kami binasa, padahal masih ramai solihin di antara kami?” Jawab
Rasulullah s.a.w.: “Ya,! Jika telah banyak kejahatan.”;- Riwayat
Muttafaq Alaihi.
Tirai dinding Yakjuj Makjuj;- Abu Hurairah r.a.
berkata, bahawa Nabi s.a.w bersabda: ”Allah telah membuka tirai dinding
Yakjuj Makjuj sebesar ini; sambil melengkungkan jari telunjuk dengan ibu
jari” - Hadith riwayat Muttafaq Alaihi
Hancurnya Yakjuj Makjuj dan seluruh isi alam menjadi
sesuci salju dan melimpah ruahnya sumber rezeki dan kekayaan berkat doa
Nabi Isa a.s.
Rasulullah s.a.w bersabda:- ”Maka hilanglah segala
permusuhan dan benci-membenci di kalangan manusia dan hilanglah segala
bisa dari keseluruhan binatang yang berbisa sehingga anak kecil
memasukkan tangannya ke dalam mulut ular, maka ular itu tidak
menggigitnya dan tidak ada apa-apa kemudharatan. Anak kecil boleh
bermain dengan singa, bahkan serigala yang biasanya menerkam kambing
akan terbalik seakan-akan menjadi anjing pemeliharanya. Bumi ini akan
dipenuhi dengan keamanan dan keselamatan seperti mana dipenuhkan sesuatu
bejana dengan air. Pendapat akan menjadi satu ( tiada perselisihan
antara ummat) dan tidak disembah kecuali hanya Allah dan segala
peperangan akan berhenti dan orang Quraisy kembali memegang tampuk
kepimpinan (maksudnya kepimpinan Imam Mahdi)” - Hadith Riwayat Ibnu
Majjah.
Daripada Nawas bin Sam’an r.a. (dalam hadis yang
panjang) berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;-”Maka dikirim oleh
Allah, Yakjuj dan Makjuj; mereka mengalir dari tempat-tempat yang
tinggi. Barisan depan mereka melalui Danau Tibris, lalu mereka minum air
Danau itu sampai habis. Kemudian barisan terakhir lewat pula di situ,
lalu mereka mengusapkan: “Sesungguhnya di sini dahulunya pernah ada
air.” Nabi Isa a.s. dan rakan-rakannya terkepung (sehingga kekurangan
makanan), sehingga seekor kepala sapi (kepala lembu) bagi masing-masing
mereka, lebih berharga dari seratus dinar bagi setiap orang di hari itu.
Maka berdoalah Isa a.s. dan rakan-rakannya (supaya Yakjuj Makjuj
binasa). Lalu Allah mengirim penyakit hidung pada kenderaan Yakjuj
Makjuj, maka di waktu pagi mereka semuanya mati sekaligus. Kemudian Nabi
Isa a.s. dan rakan-rakannya turun dari bukit dan didapatinya tidak ada
tempat terluang agak sejengkal, melainkan telah dipenuhi oleh bangkai
busuk. Maka berdoalah Nabi Isa dan rakan-rakannya kepada Allah (supaya
bangkai busuk itu hilang), lalu dikirim oleh Allah burung-burung sebesar
unta, maka diangkutnya bangkai-bangkai itu dan dilemparkannya ke tempat
yang dikehendaki Allah, kemudian Allah menurunkan hujan lebat, yang
tidak membiarkan sebuah rumah pun yang dibuat dari tanah liat dan bulu
unta, lalu dibasuhnya bumi sehingga bersih seperti kaca. Sesudah itu
kepada bumi diperintahkan; “Tumbuhkanlah buah-buahanmu dan kembalikanlah
keberkatanmu!” Maka di masa itu, sekumpulan orang kenyang kerana
memakan buah delima dan mereka dapat berteduh di bawah kulitnya. Rezeki
mereka beroleh berkat, sehingga seekor unta bunting cukup mengenyangkan
sekumpulan orang. Dalam keadaan demikian, ketika itu Allah mengirimkan
angin melalui ketiak mereka. Maka diambilnya nyawa setiap orang beriman
dan setiap orang Islam. Maka tinggallah orang-orang jahat,
bercampur-baur seperti himar (tidak tahu malu). Maka di kala itu
terjadilah kiamat” - Hadith Riwayat Muslim.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda:- “Sesungguhnya, Allah swt akan mengutus angin (yang
lembut) yang datang dari negeri Yaman. Angin itu lebih lembut dari
sutera. Ia tidak melalui seseorang yang beriman, walaupun imannya hanya
ada sebesar biji sawi kecuali ia akan mematikannya”;- Hadith Riwayat
Muslim.
5 – Binatang yang dipanggil ‘Dabbah’ akan
keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa
manusia tidak beriman lagi kepada Allah S.w.t. Ia muncul di waktu dhuha dan akan berbicara kepada setiap manusia.
Binatang yang keluar sebagai tanda akan datangnya
hari kiamat itu akan keluar dengan membawa cincin Nabi Sulaiman dan
tongkat Nabi Musa a.s. Kemudian memberi semacam tanda kepada wajah orang
mukmin dengan menggunakan tongkatnya dan memberi cap pada hidung orang
kafir, dengan menggunakan cincin itu, sehingga orang-orang yang ahli
tamu sama berkumpul yang satu mengucapkan “Hai orang mukmin!” dan yang
lain mengucapkan “Hai orang kafir!”;- (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu
Majah dan Hakim).
Binatang itu akan keluar lalu memberi tanda kepada
orang ramai di hidungnya. Orang-orang berkumpul ramai sekali, sehingga
ada orang yang membeli binatang tersebut, pembeli itu ditanya: “Dari
siapakah engkau membeli binatang ini?” Jawabnya: “Dari orang yang dicap
hidungnya.”;- (Riwayat Ahmad)
Dabbah ini juga akan menjadi guru kepada manusia
kerana waktu itu manusia sudah tidak mendengar dan mempercayai firman2
Allah dan juga alim ulamak. Lihatlah betapa manusia waktu itu sudah
buntu dan akhirnya Allah utuskan binatang untuk menjadi guru manusia.
Diumpamakan seperti kisah Habil dan Habil, yang mana Allah utuskan
burung gagak untuk memberi pelajaran tentang cara-cara menanam mayat
manusia.
6 – Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya iaitu dari arah Barat.
Maka pada saat itu Allah S.w.t. tidak lagi menerima iman orang kafir
dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa. Bermakna PINTU
TAUBAT sudah tertutup. Ini kerana IMAN adalah KEYAKINAN, sedangkan
apabila matahari sudah keluar dari barat itu bermakna sudah SAH akan
kiamat. Maka iman di ketika itu hanyalah IMAN dalam terpaksa, maka IMAN
sebegitu tidak lagi diterima oleh Allah S.w.t, na’uzubillah.
Contohnya sama seperti Firaun yang mengakui Allah itu
Tuhan apabila nyawanya sudah sampai tenggorok iaitu ketika ajalnya
sudah hampir (sakaratul maut) ketika dia tenggelam dalam laut Merah
ketika mengejar Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel. Maka IMAN ketika
itu sudah tidak diterima lagi kerana dia telah SAH akan mati.
Abu Hurairah r.a. berkata, “Nabi s.a.w. bersabda, :
“Qiamat tidak akan tiba sehingga matahari terbit dari Barat. Manusia
akan menyaksikannya, sesiapa yang berada waktu itu akan mempercayainya
tetapi itulah masanya dimana “…tidaklah bermanfaat Iman seseorang bagi
dirinya yang belum beriman sebelum itu.” ;- [Riwayat Bukhari, Kitab
al-Tafsir, 6/73].
Tidak akan terjadi Hari Kiamat, sebelum matahari
terbit dari tempat terbenamnya (Maghrib / Barat). Apabila matahari
terbit dari tempat terbenamnya, manusia semuanya beriman. Maka di waktu
itu, iman seseorang tidak berguna bagi dirinya yang tadinya belum pernah
beriman, juga bagi mereka yang belum pernah berbuat baik dalam
berimannya;- (Riwayat Muslim).
Begitulah sistem alam ini akan menjadi tidak seimbang
dan semakin kacau-bilau apabila hampir kepada kebinasaannya, sama lah
seperti manusia yang menghampiri saat2 kematiannya, akan berlaku lah
ketidak-seimbangan dan kacau bilau dalam sistem tubuhnya.
7 – Gempa bumi di Timur.
8 – Gempa bumi di Barat.
9 – Gempa bumi di Semenanjung Arab.
10 – Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.
Keluarnya api dari Hijjaz menghalau manusia pada masa
itu dari arah selatan Yaman ke utara negeri Syam, maka ketika itu
Malaikat Israfil akan meniup sangkakala, tiupan yang pertama yang
mengejutkan ke semua orang yang berada pada hari itu. Di hari itu orang
ramai tidak sempat berurusan dengan urusan masing-masing. Mereka akan
dikejutkan dengan tiupan yang keras sekali, yang menderu di udara
sehingga semua orang akan tercengang ke langit mendengarkannya.
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di
dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan
(pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw.
bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda
besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi
ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam
(setelah beliau turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari
tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang
akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan
disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali
keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang
matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.
Beberapa kejadian lain
- Rosaknya Kaabah ( Baitullah ).
Rosaknya Kaabah;- Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda: Akan ada orang yang merobohkan Kaabah, iaitu
seorang yang berbetis kecil dari Habsyah (Ethiopia);- (Riwayat Muttafaq
Alaih).
Kaabah diruntuhkan;-Daripada Abdullah bin Amr bin
‘Ash r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:- “Ka’bah akan
dihancurkan oleh orang Habsyah (orang Negro) yang bergelar
“Dzus-Suwaiqatain” (orang yang kedua-dua betisnya kecil) dan ia akan
merampas segala perhiasannya dan melucutkan kelambunya. Seakan-akan
terbayang di hadapan mataku keadaan seorang yang botak, bengkok sedikit
sendi-sendinya. Ia memukul-mukul Ka’bah itu dengan besi penyeduk dan
kapak besar”;- (H. Riwayat Imam Ahmad).
Lenyapnya Al-Quran dari Mushaf dan hati (Al-Quran diangkat)
Al-Quran Akan Hilang Dan Ilmu Akan Diangkat;-Daripada
Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: ”Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak
(warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai
suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan
puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang
dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan
sedekah. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam
sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi
daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa
kelompok daripada manusia, di antaranya orang-orang tua, laki-laki dan
perempuan. Mereka hanya mampu berkata, “Kami sempat menemui nenek moyang
kami memperkatakan kalimat “La ilaha illallah”, lalu kami pun
mengatakannya juga”. Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada
Huzaifah), “Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La
ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami
apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah”? Maka
Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian
Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan
mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya
lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, “Kalimat itu dapat
menyelamatkan mereka daripada api neraka” (Huzaifah memperkatakan
jawapan itu tiga kali)”- Hadith Riwayat Ibnu Majah.
Mengenai Manusia Yang Hidup Di Ambang Qiamat;-
Abdullah ibn Mas’ud r.a. berkata, “Daku telah mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda, “Kefasihan boleh memukau; manusia yang akan merasai
qiamat semasa hidup ialah manusia yang terjahat dan mereka yang
menjadikan kubur sebagai masjid.” ;- [Riwayat Ahmad, Musnad, 3/268].
Peristiwa-peristiwa Di Ambang Qiamat;- Telah
diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bersabda, :
“Halilintar serta petir akan sering berlaku menjelang Qiamat sehingga
seorang akan bertanya kepada orang ramai, “Ada sesiapa di antara kamu
yang dipanah petir pagi tadi?” Maka disahut, “Si fulan dan fulan telah
kena panah.”” ;- [Riwayat Ahmad, Musnad, 3/64,65].
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda, : “Qiamat tidak berlaku sehingga datang hujan lebat yang
merosakkan sekelian tempat kediaman kecuali khemah-khemah.” ;- [Riwayat
Ahmad, Musnad, 2/262].
Sabda Rasulullah s.a.w;- “Tidak terjadi kiamat itu
sehingga orang bersetubuh (berzina) seperti bersetubuh keldai di tengah
jalan.”- (H.Riwayat Ibnu Hibban).
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa beliau dengar
Rasulullah s.a.w. bersabda,: “Qiamat tidak akan berlaku sehingga
punggung wanita-wanita Dhaus mengelilingi Zul-Khalasah.”;- [Riwayat
Bukhari, Kitab al-Fitan, 8/182].
*** Dhaus ialah suatu kaum di Yaman. Zul-Khalasah
ialah rumah berhala di zaman Jahiliyyah. Mereka percaya sesiapa
menyembah atau mengelilinginya akan disucikan (khallasa). Hadith ini
bererti kaum itu akan murtad dan kembali menyembah berhala sehingga
wanita mereka menyembah dan mengelilinginya dengan menggoyang-goyangkan
tubuh mereka.
Jika keadaan sudah jadi seperti ini, maka kiamat
bila-bila masa boleh terjadi. Kiamat diumpamakan seperti:- “Seperti
perempuan yang mengandung yang sudah cukup bulan. Keluarganya tidak tahu
bilakah mereka akan dikejutkan dengan kelahiran anak yang dalam
kandungannya, sama ada di waktu malam atau siang”;- (H.Riwayat Ahmad).
“Maka apabila malapetaka yang sangat besar (hari kiamat) telah datang.
Pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya,
dan diperlihatkan neraka dengan jelas kepada setiap orang yang melihat.
Adapun orang yang melampaui batas,
dan lebih mengutamakan kehidupan dunia,
maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).
Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya,
maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya).
(Orang-orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kebangkitan, bilakah terjadinya
Siapakah kamu (maka) dapat menyebutkan (waktunya)?
Kepada Tuhanmulah dikembalikan kesudahannya (ketentuan waktunya).
Kamu hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari berbangkit)
Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu,
mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar
saja) di waktu petang atau pagi hari.” Surah An Naazi’aat : Ayat 34 – 46
Rujukan :
1 – AlQuran
2 – Ceramah Tanda Besar Kiamat oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
3 – http://www.geocities.com/saifullah_islam77/dekatnya_kiamat.html
4 – 40 hadith tentang peristiwa akhir zaman – Abu Ali al Banjari An Nadwi