khutbah jumaat
السلام عليكمالحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman
Kita masih berada dalam bulan Syawal di mana suasana sambutan hari raya masih terasa bagi sesetengah tempat. Bulan Syawal sewajarnya dijadikan bulan muhasabah dalam menghitung diri kita dari segi kualiti dan kuantiti amal ibadat kita samada semakin bertambah serta cemerlang atau sebaliknya. Kehadiran Syawal yang datang selepas tarbiah Ramadhan biasanya menzahirkan pembahagian manusia samada hanya setakat menjadi hamba Ramadhan iaitu golongan yang hanya rajin beribadat dan berakhlak mulia pada bulan Ramadhan sedangkan setelah berlalunya Ramadhan kembali menjadi manusia yang derhaka kepada Allah. Golongan yang benar-benar berjaya hasil tarbiah Ramadhan ialah yang berjaya menjadi hamba Allah yang meneruskan tarbiah tersebut pada 11 bulan yang lain. Tanyalah diri kita sekiranya pada bulan Ramadhan yang lepas mampu berjemaah di masjid atau surau bagaimana sesudah Ramadhan. Jika Ramadhan yang lepas kita mampu solat sunat berpuluh malah beratus rakaat bagaimana sekarang. Jika Ramadhan yang lepas mampu khatam al-Quran bagaimana hari ini di mana berapa juzu’ atau helai yang telah dibaca. Jika Ramadhan yang lepas kita mampu berpuasa sebulan bagaimana hari ini adakah mampu mengerjakan puasa sunat sekurangya pusat sunat Syawal. Berubahlah ke arah yang terbaik terutama dalam menambah bekalan akhirat
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-A’araf :
وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar
Syawal juga merupakan bulan kemenangan yang mesti kita hayati syarat kemenangan sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutama ketika mencapai kemenangan gemilang dalam peperangan Ahzab yang bermaksud tentera bersekutu kuffar atau Khandak yang bererti parit yang digali dalam menyekat kemaraan musuh Islam. Begitu juga kemenangan dalam peperangan Hunain walaupun menerima kejutan serangan musuh pada peringkat pertama. Perjuangan Islam tidak dijanjikan dengan kemenangan yang senang sebaliknya menuntut kepada pengorbanan dalam berdepan dengan pelbagai halangan. Perjuangan Islam tidak dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah merah dalam berdepan dengan musuh yang bernafsu serakah. Oleh itu dalam menghadapi musuh maka kita kena kenal siapa musuh kita yang sebenar melalui ilmu yang bertunjangkan al-Quran dan hadis nabi bukannya berdasarkan hawa nafsu
Kita berasa sedih dan marah apabila ada golongan yang mengaku Islam tetapi bergerak menjadi lidah kepada musuh Islam seperti Isu sebat Kartika Sari Sukarno yang kembali bergolak dan menjadi tumpuan masyarakat selepas Kumpulan Bertindak Bersama Bagi Persamaan Gender (JAG) yang turut disertai Sisters in Islam (SIS) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu, mendesak Kerajaan Persekutuan dan negeri memansuhkan undang-undang jenayah Syariah yang sekian lama berkuatkuasa di negara kita. Tindakan JAG itu mencemarkan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang Islam bukan baru diadakan dan ia wujud sejak empayar Kesultanan Melayu Melaka. Melaka bukan saja berperanan sebagai pusat penyebaran Islam, malah sistem pentadbirannya juga berteraskan Islam dengan melaksanakan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang berpaksikan Islam. Sekiranya umat Islam menerima cadangan pemansuhan JAG ini bermakna kita bakal kembali ke zaman sebelum kedatangan Islam. Ia juga akan menjadikan Malaysia seperti negara yang walaupun majoriti rakyatnya Islam, tetapi tidak mempunyai undang-undang yang boleh membendung kesalahan syariah, perilaku moral dan akhlak, sehingga masalah sosial semakin berleluasa dan meruncing. Golongan ini mesti dibanteras samada memanggil mereka untuk berbincang atau diambil tindakan sebagaimana ajaran sesat lain dengan dipaksa untuk ditarbiah dan diberi kefahaman tentang Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1 dan 2 surah al-Hajj:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُمْ بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ
Maksudnya : Wahai umat manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu. Sesungguhnya goncangan hari qiamat itu adalah suatu yang dahsyat. Hari itu kamu dapati goncangan itu menyebabkan lalai semua perempuan yang menyusui anak daripada anak yang disusuinya, gugurlah perempuan yang hamil dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk sedangkan mereka sebenarnya bukan mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat keras
Ketika berseronok menyambut kedatangan Syawal maka kita dapat saksikan bagaimana ribut beserta banjir besar yang melanda Filiphina yang turut dirasai di negeri kita bila banyak kampung yang terkena ribut yang memusnahkan harta benda. Kemudian berlaku pula gempa bumi di Indonesia di mana bila kita mendengar dan membaca pengalaman mangsa maka ini semua mengingatkan kita bagaimana usia dunia semakin uzur dan semakin dekat dengan berlakunya qiamat. Jika peristiwa yang meragut betapa banyak nyawa dan meranap harta benda inipun sudah dirasai dahsyat maka bayangkanlah bila bumi dan langit ini akan digulung dan dihancurkan bila berlakunya qiamat yang sebenar nanti. Ambillah pengajaran yang berguna daripada apa yang berlaku di hadapan mata. Akuilah bahawa ia adalah tanda kekuasaan Allah bukannya berselindung atas nama bencana alam sahaja. Insaflah diri, banyakkan bertaubat dan istighfar, jauhilah maksiat. Jangan tunggu bala ini berlaku atas batang tubuh kita baru mahu insaf maka semuanya sudah terlewat dan tiada guna lagi
Ingatlah bahawa bala Allah bila datang tanpa pengecualian kepada sesiapa pun sama ada yang kufur dan melakukan kemungkaran ataupun golongan beriman dan melaksana suruhan Allah. Manusia ini terbahagi kepada dua iaitu satu yang kufur dan satu lagi beriman. Bagi yang kufur, memang apa yang berlaku merupakan azab Allah SWT di dunia ini dan mereka tidak akan terlepas daripada azab yang lebih dahsyat di akhirat nanti sebagaimana keadaan Firaun yang ditenggelamkan Allah SWT di tengah Laut Merah adalah azab yang Allah SWT turunkan atas kekufuran pemerintah zalim itu dan untuk menghapuskannya dari dunia ini. Bagi golongan beriman pula, ini adalah musibah yang mereka terima di dunia tetapi dijanjikan dengan pelepasan daripada azab di akhirat nanti dimana bagi umat yang beriman serta sabar dengan ujian maka musibah yang didatangkan sebagai kaffarah iaitu penghapusan dosa atas kesalahan yang dilakukan atau untuk menambahkan lagi keimanan kepada Allah. Jauhi maksiat untuk raih berkat, jauhi dosa untuk hindari bala
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 25 surah al-Anfal :
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan takutlah kamu kepada siksaan yang tidak diturunkan khusus terhadap orang-orang yang zalim di antara kamu sahaja. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya
Tiga kategori manusia yang akan dibangkitkan di akhirat iaitu Pertama mereka yang melakukan maksiat, degil serta ingkar perintah Allah SWT yang mendapat dua kali pembalasan azab iaitu di dunia dan di akhirat.
Kedua, orang baik dan membiarkan kejahatan berlaku yang akan dibalas di dunia serta akhirat kerana tidak menjalankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan, melarang perbuatan mungkar.
Ketiga ialah orang soleh yang melakukan amal ibadat dengan tekun tetapi berdepan musibah di dunia dan mereka ini akan mendapat pelepasan di akhirat atas kesabaran ketika menerima ujian Allah SWT di dunia
Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang bersyukur atas nikmat yang diberi dan bersabar atas bala musibah yang dihadapi
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment