Sunday, May 6, 2012

Yahudi Pendatang Di Tanah Arab

Susunan Siti Ainiza Kamsari


DI Zaman Pra Islam iaitu di Semenanjung Arab dikatakan terdapat lebih 20 kabilah yang terdiri daripada puak-puak Yahudi. Ini menjadikan terdapat sejumlah besar penduduk di semenanjung itu terdiri daripada kaum Yahudi selain daripada bangsa-bangsa Arab yang lain.

Tetapi adakah puak-puak Yahudi ini merupakan penduduk asal Tanah Arab dan membentuk negara bangsa Yahudi mereka di situ? Pastinya mereka sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, Yahudi merupakan kaum yang terpaksa migrasi dari satu tempat ke suatu tempat yang lain, mencari bumi mana yang sudi menerima mereka.

Jika kita menyingkap sejarah asal usul kaum ini, mereka juga dikenali juga sebagai Bani Israel bermaksud bangsa yang berketurunan Israel.

Fakta mengenai Israel yang mesti kita ketahui bahawa Israel berasal dari perkataan Ibrani yang bermaksud 'orang yang berjalan di malam hari'.

Iaitu satu gelaran yang diberikan kepada Nabi Yaakob a.s, iaitu nabi kesepuluh lahir selepas Nabi Adam a.s. Nabi Yaakob dikatakan selalu mengembara dengan memulakan perjalanannya di waktu malam, manakala berehat semasa siangnya dan membuat persediaan untuk meneruskan perjalanan pada waktu malam berikutnya.

Gelaran itu menjadi asal usul kepada kaum yang lahir daripada anak-anak Nabi Yaakob yang seramai 12 orang itu, yang turut dikenali dengan gelaran "Al Asbaath."

Antara anak-anak baginda itu ada yang diangkat sebagai nabi seperti Nabi Yusuf bagi meneruskan syariat Allah yang diperturunkan kepada nabi-nabi terdahulu, iaitu Nabi Ishak, Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim.

Nabi-nabi lain yang lahir dari keturunan ini, termasuklah Nabi Ayyub, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Zulkifli, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas, Nabi Ilyasa, Nabi Yunus, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa.

Sehinggalah sejarah bangsa ini melewati 587 (atau 586) Sebelum Masihi akibat penempatan mereka di Jerusalem diserang dan dihancurkan oleh Raja Nebuchadnezzar iaitu raja Kaum Chaldea dari Babylon (Iraq).

Peristiwa ini merupakan kali pertama orang Yahudi dihalau keluar dari Israel (Jerusalem) dan ada sebilangan yang ramai daripada mereka ditawan dan dibawa ke Babylon.

Serangan ini tidak sahaja menghancur dan memusnahkan negara mereka malah termasuk juga haikal (kuil-kuil) Yahudi. Namun mereka terpaksa juga meninggalkan Jerusalem mencari penempatan lain untuk meneruskan kehidupan.

Melarikan diri dan perjalanan mencari dunia baru itu akhirnya, menyaksikan ada kalangan mereka sampai di bahagian utara Hijaz dan apabila diterima baik oleh penduduk asal Arab di situ, pendatang Yahudi terus menetap di kawasan-kawasan utara semenanjung Tanah Arab itu.

Lebih ramai Yahudi yang melarikan diri ke kawasan tersebut sehingga mereka berjaya membentuk penempatan Yahudi yang besar iaitu di Yathrib (nama lama bagi Madinah), Khaibar dan Taima.

Mereka kemudiannya membuka lebih banyak perkampungan-perkampungan Yahudi, benteng dan kubu bagi tujuan mempertahankan diri daripada serangan musuh.

Pendatang-pendatang Yahudi itu kemudiannya mula menyebarkan agama mereka di kalangan penduduk-penduduk Arab yang berada di persekitaran mereka, sehinggalah kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Sebagaimana yang kita sedia ketahui, Yahudi berjaya membentuk satu komuniti yang kuat terutama di Yathrib. Kabilah-kabilah Yahudi yang berjaya membentuk pengaruh yang kuat dan terkenal, termasuklah Kaibar, Mustaliq, Nadir, Quraizah dan Qainuqa.

Jadi telah berlaku asimilasi agama dan kaum yang jika sebelum ini agama Yahudi itu dianuti oleh bangsa Israel itu sahaja. Namun mereka nampak ada kepentingan, jika agama Yahudi itu tersebar di kalangan penduduk asal atau orang Arab itu sendiri kerana menyedari status mereka yang sebenarnya berasal daripada kaum pendatang.

Fenomena ini menyebabkan ada pihak yang menyebut terutama di kalangan bangsa Arab, Yahudi dan Islam itu sebenarnya saling bersaudara. Walaupun berbeza agama tetapi sebenarnya kedua-dua kaum ini masih mampu untuk hidup berpakat dan berjiran tanpa ada sebarang prejudis kaum atau perkauman.

Tetapi bagaimana dikatakan agama Yahudi itu menjadi hak anutan kepada bangsa-bangsa Yahudi sahaja, tidak bangsa lain yang ada di muka bumi ini? Adakah anda mengetahui fakta sejarah mengenainya?

Pakar Sejarah terkenal, Harun Yahya (Adnan Oktar) dalam bukunya, Kaum-kaum Yang Pupus (Terbitan Saba Islamic Media, 2004) menulis Kitab-Kitab Perjanjian Lama (Taurat) seolah-olah menggambarkan Nabi Ibrahim seperti menerangkan dua individu berbeza.

Seorang dikenali sebagai Abraham dengan versi mereka sendiri dan seorang lagi Ibrahim sebagaimana kisahnya diceritakan dengan benar dan tepat seperti terkandung dalam al-Quran.

Menurut Harun, tidak ada satu cerita atau kisah Nabi Ibrahim yang dilemparkan ke dalam api dan tindakannya memecahkan berhala-berhala kaumnya, Kaum Namrud disebut dalam Kitab Perjanjian Lama (Taurat).

Secara umum kitab itu hanya menyebut Nabi Ibrahim sebagai moyang kepada kaum Yahudi sahaja.

"Ternyata para pemimpin kaum Yahudi telah menggunakan pandangan Perjanjian Lama ini untuk mengetengahkan konsep "agama bangsa".

Mereka mempercayai bahawa bangsa mereka adalah terpilih oleh tuhan, justeru mereka mempunyai keagungan yang tiada tandingan berbanding bangsa-bangsa lain.

"Mereka dengan sengaja meminda kandungan Kitab Suci mereka sendiri dan menokok tambah serta memadamkan sesetengah kandungan demi kepentingan kepercayaan mereka," kata Harun.

Sementelah bagi penganut dan pengikut Kristian pula berpendapat Nabi Ibrahim yang dianggap sebagai moyang kaum Yahudi tetapi menurut mereka Nabi Ibrahim bukan seorang Yahudi tetapi seorang Nasrani.

"Mereka tidak mengendahkan konsep bangsa seperti Yahudi itu dan mengambil pendirian mereka sendiri, yang telah menyebabkan berlaku perselisihan antara kedua-dua agama itu," katanya.

Perselisihan ini telah disebut dalam al-Quran, iaitu; Wahai ahli-ahli Kitab! Mengapa kamu berani bertengkar mengenai agama Ibrahim, pada hal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada zaman Ibrahim; patutkah kamu berdegil sehingga kamu tidak mahu menggunakan akal?....Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah juga baginda seorang Kristian. (Ali Imran: 65 - 68)

Turut disebutkan juga terdapat agama lain yang menjadi anutan kalangan penduduk Arab selain, Nasrani, Yahudi pada zaman sebelum keputeraan baginda Nabi Muhammad SAW.

Iaitu agama Majusi (menyembah api) iaitu kalangan penduduk Arab yang tinggal berdekatan atau berjiran dengan negara Parsi, negara asal agama ini. Agama ini juga dikatakan bertapak di Iraq, Bahrain dan kawasan-kawasan persisiran Teluk Arab yang berdekatan dengannya.

Atau anda pernah mendengar agama Sabiah? Agama ini juga merupakan satu lagi bentuk agama yang dikatakan menjadi anutan kepada sebahagian kecil penduduk Arab di Tanah Arab. Iaitu kaum Ibrahim al Kaldaniy dan juga dikatakan ramai penduduk Syam yang mempercayai agama ini. Namun akibat kehadiran dan kemaraan agama Nasrani dan Yahudi menyebabkan agama ini lemah dan semakin pupus.

Mereka yang menganut agama ini menggantungkan kepercayaannya kepada perjalanan bintang dan falak, berkeyakinan bahawasanya segala sesuatu itu, gerak dan diam, berjalan dan berhenti, semua itu berkait dengan bintang-bintang.

Mungkin ada menariknya kita ikuti corak kehidupan masyarakat Arab Jahiliah dengan lebih dekat lagi. Ikuti keluaran akan datang, bagaimana yang dikatakan dalam kejahilan itu mereka sebenarnya bertamadun seperti dalam bidang kesusasteraan, sehinggakan dinding-dinding Kaabah menjadi saksi kehebatan masyarakat Arab Jahiliah bersastera!

No comments:

Post a Comment