Jadilah pendengar yang baik
Selalunya
sebagai seorang ketua, kita lebih suka bercakap dari mendengar pendapat
orang bawahan kita. Kita mungkin tidak suka atau bersetuju mendengar
pandangan pekerja-pekerja bawahan bercakap sesuatu perkara yang
bersangkutan dengan kerja kerana bagi kita, mereka ini pekerja bawahan
dan hanya layak mendengar apa yang kita arahkan. Tetapi jika kita
mendengar pandangan dan pendapat pekerja-pekerja bawahan kita,
kadang-kadang buah fikiran mereka boleh memberi perubahan yang positif
kepada organisasi kerana mereka telah lama bekerja dan lebih tahu banyak
perkara yang kita tidak tahu langsung.
Semasa
penulis menamatkan perkhidmatan tentera dahulu dan bekerja sebagai
eksekutif disebuah syarikat gergasi dari Jepun iaitu Matsushita
Electronic Sdn Bhd, Sg Petani. Setiap kali sebelum habis kerja diadakan “Circle Group meeting” yang terdiri dari Pengurus (Jepun), penasihat (Jepun), Eksekutif (tempatan), penyelia dan beberapa orang juruteknik termasuk line leader.
Segala
masalah berkaitan pengeluaran dan pekerja dibentangkan supaya dapat
diambil tindakan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan pentadbiran.
Semua yang hadir diberi peluang untuk bercakap dan memberi pendapat
masing-masing. Pengurus dan penasihat (Jepun) akan mencatatkan semua
masalah dari setiap yang hadir. Selang beberapa hari satu perubahan
dibuat dan diubahsuai mengambil kira dari pendapat yang diberitahu oleh
pekerja dalam “circle group meeting” itu.
Itu
sebab negara Jepun lebih maju kehadapan berbanding negara yang maju
kebelakang kerana kita tidak mengamalkan sikap pendengar yang baik. Di
Malaysia masing-masing yang memegang jawatan tinggi semua hendak
bercakap dan memberi idea kononnya dapat menyelesaikan masalah itu dan
ini. Pekerja-pekerja bawahan tidak diajak sekali berunding. Lihatlah
forum-forum dalam rancangan TV kita. Mereka ini pandai bercakap kerana
ada Phd dan berkelulusan tinggi dan sebagainya. Secara teori memang
senang bercakap. Praktikal belum tentu lagi berjaya. Tetapi selepas
habis forum tiada satu tindakan proaktif pun yang diambil kerana pihak
atasan ada perancangan sendiri. Itu sebab penulis jarang tengok
forum-forum di TV melainkan rancangan Dato Fadillah Kamsah sahaja.
Kita
manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia
perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah
badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi.
Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi
manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan
gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya.
Orang
yang begini, akan gagal dalam hidupnya. Peri pentingnya
didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak
pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi:
“Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.” Ertinya, kekasih yang baik
ialah kekasih yang mendengar. Mendengar rintihan, keluhan, aduan
dan rayuan
pasangannya.
Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum. Dengan
mendengar ertinya kita memberi telinga, mata dan hati.
Orang
yang mendengar sebenarnya adalah orang yang “memberi” Bukankah cinta
itu bererti memberi? Memberi kasih-sayang, perhatian
dan perlindungan. Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar
dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak
pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin
kerana itu Allah SWT ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai
simbolik, kurangkan
berkata-kata tetapi banyakkan mendengar.
Malangnya,
kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar
cakap orang lain. Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli.
Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli
perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat
pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita
menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek
wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak
pandai: “Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang
mengambil manfaatnya.”
Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak
mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi
jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila
bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan,
kita menjuarai percakapan. Mengapa? Ya, sering berlaku pangkat, harta,
nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi
pendengar Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih
tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak
menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita
lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!
Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak
ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi
pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri).
Orang
yang tawaduk akan ditinggikan Allah SWT. Orang yang mendengar
akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata.
Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh.
Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah
darjat kita di sisi Allah SWT dan manusia. Bukankah dalam Al
Quran Allah SWT telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu
ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?
Justeru,
Allah SWT Yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar –
“Sami’. Dan salah satu nama Allah SWT yang baik dan indah ialah As
Sami’. Allah Maha Mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa
daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika.
Allah SWT adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan
hamba-hambaNya.
Jika
kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang
sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah SWT tidak
sebegitu.
Allah
SWT bersedia mendengarnya bila-bila masa sahaja. Jika ada
jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah SWT tetap
mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan
seorang kaunselor, ulama, kadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak
mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada
suatu masa dalam keadaan serentak. Inilah kehebatan Allah SWT sebagai
As Sami’. Bukan sahaja Allah SWT mahu mendengar bahkan mampu
mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!
Allah
SWT mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaanNya
mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia
yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain, dia juga akan
ditinggikan darjatnya. Allah SWT sudi mendengar rintihan semua
manusia tanpa mengira pangkat, darjat, harta dan rupa paras. Allah
SWT mendengar permintaan seorang raja, Allah SWT juga mendengar
rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil.
Seorang
pesakit, datang merintih kerana penyakitnya.… Allah SWT
mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah SWT mendengar.
Seorang isteri mengadu hal rumah tangg, Allah SWT mendengar. Apa pun
dan dari sesiapapun Allah SWT tetap mendengar. Pintalah hal
sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah SWT
tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu
untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang
soleh yang memohon syurga, Allah SWT tetap sudi mendengar, justeru
Allah SWT itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha Mendengar!
Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal
mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap itu tinggi
pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya.
Kalau
Si kaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur dan patuh. Tetapi
bila Si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan
menunjukkan reaksi selamba (Slumberdog). Namun tidak begitu
keadaannya pada insan bernama Muhammad SAW.
Baginda
seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri
dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar”
yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil
yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya.
Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya.
Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan
lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat
itu!
Itulah
Rasulullah SAW yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah SWT.
Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi
mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling
bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan
kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika
dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang
menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.
Anda
tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi,
cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka
telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya
orang akan jatuh
hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya
dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan
sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka
pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa
dia dekat dan dengar luahan katanya. Dengarlah bisikan orang di
sekeliling kita.
Insya-Allah,
kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan
yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan
yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauhkan diri. Anak
hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin
berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya
pemimpin serba tahu. Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan
disisihkan.
Akhirnya,
bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan
suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah. Semuanya gara-gara
dan angkara sikap ingin mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan
dan pergaulan. Pesanku untuk ku dan untuk mu, jangan biarkan mulut
menjadikan telinga kita menjadi tuli!
Wassalam
No comments:
Post a Comment