Modal Utama Manusia Di Dunia
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ رواه البخاري .
Daripada
Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua ni’mat yang
kebanyakan orang kerugiannya, kesihatan dan waktu lapang.” (al-Bukhari:
6412, al-Tirmidhi: 2304, Ibn Majah: 4170 )
Perkataan maghbun dalam hadis ini diambil dari ghabn atau ghaban.
Yang pertama bermaksud rugi, tidak memperolehi keuntungan dan yang
kedua membawa pengertian kebodohan, mudah ditipu dan merujuk kepada
kekurangan pada akal.
Hadis
ini termasuk dalam hadis-hadil mithal, ya’ni perumpamaan yang
disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. supaya dapat difahami dengan jelas
untuk umatnya. Orang yang diberikan kesihatan dan kelapangan waktu
ibarat peniaga yang mempunyai modal. Tentu sekali perlu dia menguruskan
modalnya dengan sebaiknya untuk memperolehi keuntungan dan mengelakkan
diri dari kerugian. Dia mestilah memilih untuk bermuamalat dengan orang
yang amanah lagi jujur. Ini menuntutnya bijak merancang supaya tidak
tertipu.
Dengan
dua modal yang diberikan kesihatan dan kelapangan, setiap mukallaf
mestilah mengusahakan imannya dan menyuburkannya dengan amalan soleh,
bermujahadah melawan nafsu dan mereka yang memusuhi Islam.
Dua
ni’mat ini diberikan perhatian yang khusus dalam hadis ini kerana
sering kali manusia itu menyangka ianya terus ada dan mudah diperolehi.
Dengan sangkaan ini, dia membiarkan waktu berlalu begitu sahaja tanpa
menggunakannya pada jalan yang membawa kebahagiannya di dunia dan
akhirat.
Selain
itu, dua ni’mat ini saling melengkapi walaupun yang lebih penting
adalah kesihatan kerana tidak ada faedah waktu lapang kalau terlantar
sakit dan kewujudan manusia itu sendiri bergantung kepada kesihatan.
Punca
dia bersikap begitu kerana tidak ada rasa bertanggungjawab dan tidak
memikirkan apa yang akan berlaku di kemudian hari akibat kecuaiannya
itu. Ini tanda orang yang tidak bersyukur. Sedangkan orang yang bijak
ialah orang yang tahu mengatur, mengurus dan menjaga kedua-dua ni’mat
ini dan dialah orang yang bersyukur. Allah s.w.t. berfirman:
وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
Sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur. (Saba`: 13)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang badwi tentang siapakah sebaik-baik lelaki:
مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ
“Orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya.” (al-Tirmidhi: 2329, Ahmad: 17698)
ليس يتحسر أهل الجنة الا على ساعة مرت بهم لم يذكروا الله فيها
“Tidaklah
menyesal penghuni syurga melainkan terhadap waktu yang berlalu tanpa
mereka mengingati Allah s.w.t.” (al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir)
Bimbingan hadis:
1-
Penentuan masa hadapan manusia dalam perjalanan mencapai keredaan Allah
adalah modal kesihatan dan waktu yang mana dia dapat melaksanakan
ibadat dan amal soleh dengan sempurna.
2- Peringatan supaya tidak menjadi orang yang rugi atau orang yang terpedaya jika tidak memanfaatkan kedua-dua ni’mat ini.
3- Seseorang
itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada ketaatan melainkan dia
mempunyai kecukupan untuk keperluannya dan sihat tubuh badan kerana ada
orang yang berharta tetapi tidak sihat dan ada yang sihat tetapi tidak
mempunyai harta yang mencukupi untuk keperluan. Oleh itu, sesiapa yang
diberikan kedua-duanya tetapi malas melakukan ketaatan maka dia adalah
orang yang rugi lagi terpedaya.
4- Disebutkan
dahulu ni’mat ini dengan lafaz nakirah menunjukkan betapa besarnya
nilai ni’mat yang diberikan Allah kepada hamba-Nya.
No comments:
Post a Comment